Thailand memastikan separuh akhir pertama ASEAN Hyundai Cup 2026 menjadi milik mereka apabila berjaya mencatatkan keputusan menang 1-3 ketika bertemu Singapura pada Sabtu.
Singapura memburu kemenangan besar ke atas pelawat di halaman sendiri bagi membawa bekalan selesa ke Bangkok. Thailand pula mahu mengulangi kembali pencapaian ke final seperti edisi lepas.
Aksi separuh masa pertama disajikan dengan lambakan peluang keemasan dari pasukan tuan rumah menerusi Shawal Anuar namun percubaan berbahaya tersebut berjaya ditepis oleh penjaga gol Thailand, Kampon Phatomakkakul pada minit ke-7.
Selepas itu, Jacob Mahler turut melepaskan percubaan menerusi tandukan namun sekali lagi berjaya diselamatkan.
Thailand turut melakukan serangan menerusi Chaiyaphon Otton pada minit ke-13. Namun, rembatan kaki kiri beliau sedikit tersasar dari gawang Singapura.
Selepas itu, Changsuek berjaya memecahkan kebuntuan jaringan menerusi Teerasak Poeiphimai selepas menerima umpanan cantik Seksan Ratree.
Pada minit ke-26, Teerasak Poeiphimai sekali lagi merobek gawang The Lions sekali gus memastikan Thailand di hadapan dengan 2 jaringan.
Rembatan kencang kaki kanan Glenn Kweh pada penghujung separuh masa pertama masih gagal memberikan jaringan pertama buat pasukan Singapura.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 0-2 memihak pasukan pelawat, Thailand.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampak saling berbalas serangan bagi mencerahkan peluang mara ke final Piala Hyundai ASEAN 2026.
Sarach Yooyen melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun percubaan beliau sedikit tinggi dari gawang Singapura.
Seksan Ratree sekali lagi memberikan kegembiraan kepada kem pasukan Thailand pada minit ke-51 bagi jaringan ketiga Changsuek.
Bintang sensasi muda Singapura, Ilhan Fandi meraih gol saguhati The Lions pada penghujung separuh masa kedua bagi menghidupkan peluang ke final.
Aksi di Stadium Jalan Besar tamat dengan keputusan 1-3 memihak pasukan pelawat, Thailand.
Perlawanan separuh akhir kedua kedua-dua pasukan dijadualkan pada 18 Ogos ini di Stadium Rajamangala, Bangkok bagi menentukan pasukan yang akan mara ke pentas final Piala Hyundai ASEAN 2026.