Dua bekas tonggak skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) kini menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan pasukan itu.
Dua figura yang dimaksudkan ialah bekas penjaga gol utama pasukan, Azrul Hadee Mohd Taufiq dan bekas tonggak import, Caio Cesar Garcia Rego.
Azrul Hadee kini memikul tugas sebagai jurulatih penjaga gol JDT. Caio Cesar pula menyertai barisan kejurulatihan diketuai bekas jurulatih Lubnan, Joao Almeida.
Peranan baharu Caio Cesar bersama JDT diumumkan pengurusan kelab menerusi satu kenyataan baru-baru ini.
“Caio César Garcia Rêgo, bekas pemain luar negara JDT Futsal kini meneruskan kariernya dalam bidang kejurulatihan dengan menyertai barisan kejurulatihan untuk musim baharu Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) 2026.
“Sepanjang bersama JDT sejak 2023, Caio yang berjaya memenangi tiga piala – MPFL 2024 dan 2025 serta Piala Malaysia Futsal 2024,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Kehadiran dua figura ini dijangka membantu JDT tampil lebih mantap bagi menghadapi MPFL musim 2026.
JDT sudah melaungkan amaran kepada pasukan-pasukan MPFL dengan merekrut legenda Sepanyol, Andres Alcantara Prieto.
Pasukan itu turut merekrut Zainulzahin Sinuan, Norakmal Norizal dan penjaga gol Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Ammar Harith Mohammad.