Dua ujian besar perlu diharungi skuad futsal Malaysia jika ingin mara ke peringkat suku akhir Piala Asia Futsal 2026.
Malaysia membuka kempen Kumpulan D dengan langkah kiri apabila tewas 4-1 di tangan juara bertahan, Iran pada 28 Januari lalu.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia berada di tangga keempat kumpulan di belakang Afghanistan dan Arab Saudi. Iran pula menerajui Kumpulan D menerusi kelebihan jaringan.
Justeru, aksi menentang Afghanistan pada 30 Januari ini dan Arab Saudi (1 Februari) dilihat sebagai aksi wajib menang buat anak buah Addie Azwan Zainal.
Ini kerana hanya kemenangan yang dapat menghidupkan peluang skuad futsal negara untuk mara ke suku akhir. Juara dan naib juara setiap kumpulan saja yang layak ke peringkat suku akhir.
Selain memburu slot ke suku akhir, ini juga peluang buat Malaysia mencipta kejutan ke atas kedua-dua pasukan itu. Ini kerana kedua-dua pasukan memiliki ranking lebih baik berbanding Malaysia.
Afghanistan dan Arab Saudi masing-masing berada pada kedudukan ke-28 dan 45 berdasarkan ranking terbaru FIFA.