Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Hannah Yeoh memberi penjelasan kukuh mengapa wang sebesar RM5 Juta disalurkan buat bola sepak Malaysia.
Perkara ini diungkapkan olehnya secara terperinci dengan mengambil kira pelbagai faktor yang memerlukan wang diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Harimau Malaya berjaya melakar sejarah untuk layak secara merit di pentas berprestij Asia itu selepas 43 tahun sekaligus menyaksikan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk meluluskan dana sebesar RM5 Juta.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Segambut itu menyatakan hasrat untuk memberi penjelasan berhubung perkara ini.
“Kenapa bagi banyak dana sehingga RM5 juta kepada sukan bola sepak? Sejujurnya, sebelum saya masuk KBS, saya pun mempunyai pendapat yang sama bahawa tak perlu bagi banyak dana kepada bola sepak. Tetapi sekarang saya sudah memahami.”
“Kali pertama dalam 42 tahun, Malaysia layak secara merit ke Piala Asia. Ranking Harimau Malaya dalam pasukan E paling bawah. Mereka ke sana untuk melakukan yang terbaik.”
“Mereka cuba. Ketika bertemu Jordan, pasukan kalah. Mereka cuba lagi, lawan Bahrain, main dengan baik tapi saat akhir pihak lawan jaringkan satu gol. Lawan Korea mampu seri 3-3. Sekali lagi, bandingkan ranking dalam jadual ini.”
Terdapat banyak kos yang perlu digunakan oleh skuad kebangsaan terutamanya apabila perlu menghadiri aksi di luar negara.
“Harimau Malaya perlukan lebih banyak pendedahan luar negara. Sekali terbang bukan murah. Dana RM5 juta ini hanya mampu membantu kurangkan beban kewangan.”
“FAM masih perlu cari dana tambahan. Kementerian Kewangan sudah letakkan syarat-syarat untuk memantau penggunaan dana ini oleh FAM. Tidak boleh digunakan untuk kos operasi pejabat, bil utiliti dan pembayaran emolumen. Dana ini boleh diaudit bila-bila,” ujar Hannah Yeoh padat.
Beliau juga menganggap keputusan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan KBS adalah wajar untuk melihat lebih banyak kejayaan bola sepak Malaysia.