Advertisements
Ed Sheeran Beli Saham Ipswich Town
EPL
MakanBola
Ipswich Town FC

Penyanyi British terkenal, Ed Sheeran kini menyertai kelompok selebriti yang bergelar pemilik atau pemegang saham minoriti kelab bola sepak.

Ini selepas pendatang baru Liga Perdana Inggeris (EPL), Ipswich Town mengumumkan penyanyi berusia 33 tahun itu kini pemegang saham minoriti kelab berkenaan.

Sheeran sememangnya dikenali sebagai peminat tegar The Tractor Boys sejak dari kecil lagi. Malah, beliau juga merupakan penaja jersi pasukan lelaki dan wanita kelab yang berpangkalan di East Anglia itu sejak 2021.

Pembelian saham Sheeran dibuat menerusi syarikat Gamechanger 20 Ltd dengan pemilikan pegangan sebanyak 1.4%. Meskipun memiliki saham dalam Ipswich, beliau tidak akan menjadi ahli lembaga pengarah kelab atau pemegang saham yang memiliki hak mengundi.

“Saya sangat teruja untuk membeli peratusan kecil kelab bola sepak kampung halaman saya. Ia adalah impian peminat bola sepak untuk menjadi pemilik kelab yang mereka sokong, dan saya sangat berterima kasih atas peluang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Sheeran mengikut jejak selebriti terkenal dalam dunia sukan mahupun hiburan yang memiliki pegangan saham dalam kelab bola sepak. Chef selebriti terkenal, Delia Smith merupakan pemegang saham musuh tradisi Ipswich, Norwich City selama lebih 20 tahun.

Sementara legenda pop terkenal, Sir Elton John pernah menggalas peranan sebagai pengerusi Watford dari 1976 hingga 2002. Manakala bintang Hollywood, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney pula menjadi tulang belakang kejayaan Wrexham sejak mengambil alih kelab itu pada 2021.

Bintang bola keranjang Amerika Syarikat, LeBron James menjadi sebahagian daripada pemegang saham Liverpool menerusi pemilik kelab, Fenway Sports Group (FSG).

Pengerusi The Tractor Boys, Mark Ashton menyifatkan apa yang dilakukan Sheeran menjadikan hubungan kelab itu dengan penyanyi berkenaan cukup istimewa.

“Sokongan yang ditunjukkan Ed dan pasukannya kepada kami dalam tempoh tiga tahun yang lalu adalah sesuatu yang luar biasa dan baginya untuk membuat pelaburan ini di kelab terasa seperti satu perkembangan semula jadi dalam hubungan kami. 

“Untuk salah seorang artis terbesar di dunia untuk memberi kami begitu banyak masa dan memberikan kelab pendedahan yang luar biasa di seluruh dunia dan hanya meminta sedikit balasan, menyoroti apa yang menjadikan hubungan ini begitu istimewa. 

“Ia adalah satu keseronokan untuk mengenali Ed dan pasukannya sejak tiga tahun lalu dan kami berharap dapat membina hubungan kami lebih mantap sekarang apabila kelab memasuki EPL,” katanya.

Ipswich bakal membuka kempen EPL dengan menentang Liverpool pada 17 Ogos ini jam 7.30 malam.