Ejen kepada Park Hang-seo sedia melakukan rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam mengenai peluang untuk melihat pengendali kelahiran Korea Selatan itu membimbing Harimau Malaya.
Baru-baru ini, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan bahawa beliau telah meletakkan bekas jurulatih Vietnam itu sebagai salah seorang pengganti Kim Pan-gon.
Jawatan tersebut kini disandang oleh pemangku jurulatih, Pau Marti Vicente sehingga akhir 2024 sebelum pengendali baharu dilantik.
Ejen kepada jurulatih tersebut iaitu Lee Dong-jun memaklumkan bahawa beliau sedia berunding dengan FAM sekiranya khidmat pengendali berpengalaman itu diperlukan.
“Ejen Park Hang Seo sudah melakukan perbualan dengan Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, terbuka untuk rundingan lanjut namun belum ada tawaran rasmi setakat ini,” kata Zulhelmi di laman X.
Hang-seo kini menjadi Penasihat bagi kelab Divisyen dua Vietnam, Bac Ninh sejak awal tahun 2024 setelah rundingan untuk menjadi pengendali India dan Kemboja terhenti di tengah jalan.
Hang-seo juga membimbing Pahlawan Bintang Emas layak ke suku akhir Piala Asia 2019 dan separuh akhir Sukan Asia 2018.
Impak besarnya terhadap bola sepak Vietnam turut diiktiraf kerajaan Korea Selatan di mana beliau dianugerahkan Pingat Heungin.