Bintang Thailand, Ekanit Panya menempa sejarah tersendiri apabila kelabnya, Urawa Reds menyenaraikannya dalam senarai pemain ke Piala Kelab Dunia FIFA.
ASEAN Football melaporkan menerusi penyenaraian tersebut, Ekanit bakal menjadi pemain ASEAN pertama yang beraksi di kejohanan kelab yang berprestij itu.
Secara ringkas, Piala Kelab Dunia FIFA ialah kejohanan yang menemukan juara-juara daripada badan bola sepak benua dunia yang membentuk FIFA bagi menentukan juara dunia di peringkat kelab.
Ini merupakan satu kebanggaan buat pemain sayap Thailand itu. Ini menunjukkan bahawa juara ACL edisi 2022 itu mempercayai kebolehan yang dimiliki beliau untuk mengubah perlawanan.
Ekanit sudah merekodkan 11 penampilan bersama Urawa sejak menyertai kelab itu secara pinjaman dari Muangthong United.
Beliau sudah mencipta satu bantuan gol dan satu gol dengan kedua-duanya diraih dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Sekiranya Ekanit tampil cemerlang dalam Piala Kelab Dunia FIFA nanti, beliau berpotensi menjadi aset buat mana-mana jurulatih baru yang bakal menggantikan jurulatih Poland, Maciej Skorza.
Ketika ini, nama Joachim Low, Hansi Flick dan Per-Mathias Hogmo dikaitkan dengan kerusi panas tersebut.