Pemain tengah Thailand, Ekanit Panya sah kekal bersama juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022, Urawa Reds selama semusim lagi.
Ini selepas kelab J1 League itu mengumumkan telah melanjutkan lagi tempoh pinjaman Ekanit sehingga penghujung tahun 2024 dari kelab Muangthong United.
Pengurusan The Red Devils berbuat demikian selepas berpuas hati dengan impak yang ditunjukkan beliau untuk musim 2023.
“Ekanit Panya (24 tahun), yang dipinjamkan dari Muangthong United (Thai League 1), telah melanjutkan perpindahan pinjamannya dan akan terus bermain untuk Urawa Reds sehingga musim 2024.
“Tempoh perpindahan pinjaman ini akan berakhir pada 31 Disember 2024,” kata pengurusan Urawa dalam satu kenyataan.
Ekanit mengakui gembira dapat kekal bersama The Red Devils selama semusim lagi. Lantas, beliau berharap dapat membalas kepercayaan pasukan itu dengan memburu gelaran juara J1 League.
“Bagi saya, ini langkah pertama. Tahun ini merupakan satu lagi cabaran baru untuk saya. Saya mahu berikan apa yang saya ada untuk membantu Urawa Reds dan memenangi kejuaraan bersama Urawa Reds.
“Saya tidak sabar untuk sokongan berterusan anda untuk musim ini,” katanya di laman sesawang rasmi Urawa hari ini.
Sejak menyertai Urawa pada Julai tahun lepas, Ekanit telah merekodkan 11 penampilan, satu gol dan satu bantuan gol.
Nama Ekanit sebelum ini hangat diperkatakan susulan tindakannya menarik diri daripada skuad Thailand yang bakal beraksi di Piala Asia 2023.