Advertisement
Ekanit Panya Tolak Panggilan Thailand Ke Qatar
Asia Tenggara
MakanBola
Changsuek

Ramai penyokong Thailand terkejut dengan keputusan yang dibuat pemain tengah Urawa Red Diamonds, Ekanit Panya hari ini.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) mengumumkan Ekanit telah menarik diri daripada skuad Gajah Perang.

Pemain berusia 24 tahun itu berbuat demikian kerana mahu mengikuti sesi latihan pra-musim Urawa di bawah bimbingan jurulatih baru, Per-Mathias Hogmo.

Hogmo disahkan sebagai jurulatih baru juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2022 itu bagi menggantikan Maciej Skorza yang mengundur diri pada penghujung tahun lepas.

Susulan tindakan Ekanit, jurulatih Thailand, Masatada Ishii memanggil pemain sayap Muangthong United, Picha Autra sebagai pengganti.

Seperti Ekanit, Picha mampu beraksi di beberapa posisi di bahagian tengah. Beliau bukan saja boleh beraksi di sayap kanan tetapi juga sebagai pemain tengah dan pemain tengah menyerang.

Picha telah merekodkan 18 penampilan dan mencipta satu bantuan gol bersama Muangthong United musim ini.

Pengumuman mengejut ini mengingatkan ramai penyokong Thailand kepada kenyataan Ishii berkenaan perbezaan mentaliti pemain Gajah Perang dan Jepun beberapa bulan lalu.

“Di Thailand, beberapa pemain Thailand yang dipanggil ke skuad kebangsaan menolak panggilan tersebut dan memilih untuk berehat. Di Jepun, mewakili skuad kebangsaan adalah penghormatan terbesar. Jika anda cedera, anda tetap mahu ikut serta,” tegasnya.

Thailand bakal memulakan kempen Piala Asia 2023 dengan menentang Kyrgyzstan dalam Kumpulan F pada 16 Januari ini.