Pertahanan kental Thailand, Elias Dolah buka mulut tentang sebab beliau memilih untuk mewakili pasukan kebangsaan Thailand.
Elias Dolah merupakan seorang pemain yang boleh mewakili tiga negara iaitu Sweden, Thailand dan Malaysia di peringkat antarabangsa. Ibu dan bapanya merupakan warga Sweden manakala atuk dan neneknya berasal dari Kelantan, Malaysia.
Dalam satu temu bual bersama MakanBola, pemain yang mewakili pasukan dari Liga 1 Indonesia, Bali United ini menyatakan bahawa bapanya merupakan rakyat Thailand.
Aspek kerakyatan dan juga peluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Thailand menjadi pendorong utama beliau memilih dan menyarung jersi kebangsaan Thailand.
“Bapa saya tidak memegang kerakyatan Malaysia, dia merupakan warga Thailand. Kebanyakan ahli keluarga saya menetap di Thailand.”
“Atas sebab itu, saya datang ke Asia untuk bermain bola sepak. Dan saya datang ke Thailand untuk bermain dan mendapatkan kewarganegaraan di Thailand,” ujar Elias kepada MakanBola.
Dalam pada itu, Elias juga menegaskan bahawa beliau tidak dihubungi mana-mana pihak persatuan bola sepak selepas beliau membuat penampilan bersama skuad Thailand.
“Tidak, tidak. Saya tak dihubungi sesiapa selepas memilih mewakili Thailand,” ujar Elias.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini turut tular dalam satu video kerana kefasihannya berbahasa Melayu ketika beliau pulang ke kampung halaman di Narathiwat.