Endrick Berpeluang Julang Trofi Sulung Vietnam
MakanBola
Cong An TP Ho Chi Minh

Pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos berpeluang meraih trofi pertamanya di bumi Vietnam.

Ini selepas pasukan beliau, Cong An TP Ho Chi Minh berjaya menewaskan bekas juara V. League 1, Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh FC) 4-2 dalam aksi separuh akhir Vietnamese Cup.

Lebih menarik, pasukan itu turut merobek gawang lawan mereka sebanyak empat kali pada separuh masa pertama. Raphael Utzig, Matheus Felipe, Lee Williams dan Quoc Gia Dao masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.

Nam Dinh membalas dengan dua gol menerusi Nguyen Xuan Son dan Ly Cong Hoang Anh pada separuh masa kedua.

Keputusan ini menyaksikan Endrick dan Ho Chi Minh bakal menentang pendatang baru V. League 1, Vissai Ninh Binh FC di pentas final pada 14 Jun ini.

Ho Chi Minh dan Vissai Ninh Binh bukan saja berpeluang mengakhiri kemarau trofi Vietnamese Cup kelab masing-masing sejak 1999/2000 dan 2013. Malah, pemenang berpeluang layak ke Shopee Cup dan beraksi dalam Kumpulan A.

Kumpulan A Shopee Cup menyaksikan juara Vietnamese Cup bakal menentang juara bertahan, Buriram United, Kuching City FC, Ratchaburi, Tampines Rovers, Borneo FC dan pemenang playoff pertama kejohanan.

Sekiranya Ho Chi Minh bergelar juara, Endrick berpeluang menambah trofi keenam dalam kariernya. Sebelum ini, beliau pernah memenangi empat trofi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) termasuk Liga Super pada 2023 dan Liga Perdana bersama Penang FC pada 2020.