Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Endrick dos Santos menggalas tugas besar dalam karier bola sepaknya di Vietnam.
Umum mengetahui, arkitek berusia 30 tahun itu kini beraksi bersama Ho Chi Minh City FC (HCMC FC) selepas dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dalam dua aksi terkini HCMC FC, Endrick telah diberikan peranan sebagai ketua pasukan dan lebih menarik lagi aksi pertamanya sebagai ketua pasukan berakhir dengan kemenangan.
Baru-baru ini telah tular video di Instagram HCMC FC yang menyaksikan Endrick memberikan kata-kata semangat buat rakan-rakan sepasukannya sebelum aksi getir menentang pendahulu Liga 1 Vietnam, Nam Dinh.
Perlawanan yang berlangsung di gelanggang Nam Dinh itu berakhir dengan kedudukan terikat 1-1 sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
HCMC FC kini berada di kedudukan ke-10 Liga 1 Vietnam dengan mengumpul 21 mata selepas 18 perlawanan yang telah diharungi.
Manakala Endrick telah mendapat minit permainan yang banyak di bumi Vietnam dengan sudah mengumpul 16 penampilan, merekodkan 2 jaringan selain mencipta 4 bantuan gol.