Pemain tengah Harimau Malaya, Endrick dos Santos dilaporkan semakin hampir menyertai Star City FC.
Selepas meninggalkan kelab Vietnam, Cong An Ho Chi Minh City FC (CAHCMC FC) baru-baru ini, Endrick menjadi buruan beberapa kelab Liga Malaysia (Liga M).
Kini, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan pemain tengah berusia 31 tahun itu dilaporkan akan kembali ke Liga M dengan Star City sebagai pasukan pilihannya.
“Nampaknya, destinasi Endrick dos Santos yang seterusnya telah hampir dimuktamadkan. Beliau bakal menyertai Star City, dahulunya dikenali sebagai Imigresen,” katanya di X.
Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, Endrick berpotensi bergandingan dengan rakan lama ketika beraksi bersama Penang FC, Rafael Vitor.
Ini selepas wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam melaporkan Star City berusaha memuktamadkan perpindahan bekas kapten Penang berusia 33 tahun itu.
Kedua-duanya pernah beraksi bersama di Pulau Mutiara selama tiga musim sebelum Endrick memilih menyertai kelab gergasi selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2023.