Arsenal merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool kepada enam mata meskipun diikat Fulham 1-1.
Arsenal makin bersemangat selepas menewaskan musuh tradisi, Manchester United di Stadium Emirates baru-baru ini.
Fulham pula berharap dapat mengulangi kejayaan mengalahkan Arsenal 2-1 di Craven Cottage pada 31 Disember 2023.
Penyerang Mexico, Raul Jimenez terus menjadi sandaran gol pengurus Fulham, Marco Silva. Trio Leandro Trossard, Kai Havertz dan Bukayo Saka pula menjadi pilihan Mikel Arteta untuk merobek gawang The Cottagers.
Separuh masa pertama menyaksikan Arsenal banyak menguasai bola. Situasi ini memaksa Fulham yang menggunakan format 4-2-3-1 terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan serangan balas.
Peluang tersebut hadir pada minit ke-11 yang disempurnakan Jimenez. Selepas berjaya mengatasi perangkap ofsaid, bekas penyerang Wolverhampton Wanderers itu tenang menewaskan penjaga gol Arsenal, David Raya.
Tersentak, The Gunners mula meningkatkan asakan menerusi Saka, Trossard dan Havertz. Malangnya, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan Fulham diketuai bekas bek tengah Glasgow Rangers, Calvin Bassey.
Declan Rice hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-13 menerusi rembatan dari luar kotak penalti. Pemain tengah England itu hampa kerana rembatannya terlampau tinggi dan tersasar.
The Gunners terus berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Arsenal terus memberi tekanan kepada tuan rumah. Hasilnya, William Saliba menanduk bola hantaran Rice untuk gol penyamaan pada minit ke-52.
Melihat kedua-dua pasukan terikat 1-1, Arteta memasukkan Gabriel Martinelli sebagai pengganti Trossard. Silva pula memilih Harry Wilson dan Andreas Pereira untuk menambah sengat serangan Fulham.
Arsenal hampir menggandakan jaringan menerusi Thomas Partey pada minit ke-70. Malangnya, tandukan pemain Ghana berusia 31 tahun itu tersasar.
Saka menyangka telah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89. Keceriaan Arsenal tidak bertahan lama apabila gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.
The Gunners terus memberi tekanan ke arah kubu pertahanan The Cottagers tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Arsenal dan Fulham masing-masing kekal di tempat kedua dan kesembilan liga dengan 29 dan 29 mata.
Kerja keras yang dipamerkan Rice sepanjang perlawanan diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.2, 0.5 mata di hadapan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
Selepas ini, Arsenal kembali fokus untuk aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) menentang AS Monaco pada 12 Disember. Fulham pula bersiap sedia melayan kunjungan Liverpool pada 14 Disember.