Advertisement
EPL: Arsenal Garang Belasah West Ham 5-2
EPL
MakanBola
EPL

Arsenal merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dengan membelasah West Ham United 5-2.

The Gunners mahu meneruskan momentum kemenangan selepas berpesta gol menewaskan Sporting Lisbon dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL). The Hammers pula memburu kemenangan kelima liga untuk menjarakkan kedudukan mereka dengan kelompok tercorot EPL.

Kai Havertz, Bukayo Saka dan Leandro Trossard terus menjadi pilihan Mikel Arteta untuk merobek gawang West Ham. Bintang Jamaica, Michail Antonio pula diberi amanah mengetuai serangan The Hammers.

Separuh masa pertama menyaksikan pelawat bermula garang di Stadium London seawal minit ke-10. Gabriel mudah menanduk bola hantaran Saka menerjah jaring West Ham.

Tersentak, The Hammers yang dibimbing Julen Lopetegui berusaha mencari jaringan penyamaan. Crysencio Summerville menyangka telah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-16 tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Sebaliknya, giliran The Gunners menggandakan kelebihan mereka menerusi tolakan mudah Trossard yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Lukasz Fabianski pada minit ke-27.

Tujuh minit kemudian, pengadil Anthony Taylor mengesan tindakan Emerson Palmieri menjatuhkan Saka dalam kotak penalti. Penalti mudah disempurnakan kapten Arsenal, Martin Odegaard.

West Ham makin merana apabila Havertz pula mencetak nama sebagai penjaring. Bekas bintang Chelsea itu mudah menyudahkan hantaran Trossard pada minit ke-36.

Keceriaan kem Arsenal tidak bertahan lama apabila Aaron Wan-Bissaka menyumbat gol pertama The Hammers pada minit ke-38. Dua minit selepas itu, sepakan percuma cantik Emerson menerjah jaring pelawat.

Sangkaan penyokong West Ham bahawa dua gol itu bakal membawa kepada kebangkitan mereka meleset sama sekali. Arsenal sekali lagi dianugerahkan sepakan penalti apabila Fabianski dikesan mengasari Gabriel.

Saka mudah menyempurnakan penalti bagi memastikan Arsenal mendahului 5-2 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Arteta memasukkan Jakub Kiwior dan Oleksandr Zinchenko sebagai pemain gantian. Ini selepas Gabriel dan Riccardo Calafiori tidak dapat meneruskan permainan akibat kecederaan.

Lopetegui pula memilih memasukkan Edson Alvarez menggantikan Summerville. Kelibat Alvarez ditagih untuk melindungi barisan pertahanan West Ham daripada dibolosi pada separuh masa kedua.

Antonio hampir menambah gol ketiga The Hammers pada minit ke-56. Penyerang berusia 34 tahun itu hampa apabila percubaannya ditepis penjaga gol The Gunners, David Raya.

West Ham terus meningkatkan asakan tetapi keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Arsenal kini dipisahkan enam mata dengan Liverpool di persada liga.

The Hammers pula semakin resah kerana mereka kini hanya dipisahkan enam mata dengan Wolverhampton Wanderers dan Crystal Palace yang kini menduduki tangga ke-18 dan ke-17 liga.

Sofascore memilih Saka sebagai pemain terbaik perlawanan. Saka menerima markah 9.2, 1.0 mata di hadapan Trossard.

Selepas ini, Arsenal bakal menentang Manchester United di Stadium Emirates pada 5 Disember. West Ham pula bakal melayan kunjungan Leicester City pada 4 Disember.