EPL: Brighton Hampakan Chelsea, Jaringan Saat Akhir Welbeck Katip Gigi Tuchel
EPL
Chelsea FC
Advertisements

Sebaik saja tandukan pemain Brighton, Danny Welbeck gagal dinafikan Edouard Mendy, pengurus Chelsea Thomas Tuchel seolah-olah merasakan cabaran kejuaraan EPL Chelsea telah berakhir. Ketika ini, jurang mata Blues dengan Manchester City ialah lapan mata dan ia boleh bertambah kepada 12 mata sekiranya Chelsea tewas di tangan Liverpool pada Ahad.

Sebelum jaringan Welbeck, Chelsea terlebih dahulu di hadapan menerusi jaringan Romelu Lukaku pada minit ke-28. Di sebalik jaringan itu, ia tidak memadamkan hakikat pertahanan mereka rapuh tanpa kelibat Thiago Silva. Dan ia diambil kesempatan sepenuhnya oleh pasukan bimbingan Graham Potter itu terutama di separuh masa kedua.

Cubaan Tuchel bereksperimen dengan meletakkan Christian Pulisic sebagai bek sayap kanan dan Reece James di sebelah kiri gagal sama sekali. James yang selalunya bermain di sebelah kanan teruk dikerjakan bekas rakan akademi, Tariq Lamptey. Krisis kecederaan Blues tidak dibantu dengan kecederaan teruk yang dialami James. Terdesak, Tuchel memasukkan Marcos Alonso sebagai pengganti James.

Advertisements

Chelsea bernasib baik apabila wisel separuh masa ditiup, mereka masih mempunyai 11 orang pemain di atas padang. Ini kerana sebelum itu, bek tengah Antonio Rudiger membuat terjahan keras ke atas Lamptey. Andainya pengadil Mike Dean melayangkan kad merah kepada Rudiger, ia bakal mengubah senario perlawanan sepenuhnya.

Separuh masa kedua menyaksikan Chelsea terus bergelut diasak Brighton. Blues cuba mempertahankan kedudukan 1-0 mereka dengan membawa masuk N’Golo Kante tetapi itu tidak memperlahankan langsung rentak Seagulls. Mendy bekerja keras menafikan cubaan Jakub Moder, Neal Maupay, Yves Bissouma dan Alexis MacAllister. Tetapi akhirnya, gol Welbeck cukup untuk memastikan Brighton pulang dengan satu mata.

Dalam temubual pasca-perlawanan, Tuchel menyalahkan VAR dan pengadil kerana beberapa keputusan tidak memihak kepada mereka. Bekas jurulatih Dortmund itu turut mengecam jadual perlawanan yang padat dan Covid memberi kesan kepada kecergasan pemain. Walau apapun alasan yang diberi, Tuchel tahu City merupakan pilihan utama menjuarai EPL musim ini.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram