Kepulangan kapten pasukan, Reece James menjadi tonik tambahan bagi membantu Chelsea mengecewakan Nottingham Forest dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Blues kini berada dalam prestasi terbaik setelah mencatatkan dua kemenangan tanpa bolos sebelum ini ke atas Tottenham Hotspurs dan West Ham United manakala Forest kini bergelut di zon penyingkiran.
Kesebelasan utama yang diturunkan oleh Mauricio Pochettino tampil garang dengan asakan di awal permainan dan berjaya meledak gol pertama menerusi pemain sayap, Mykhailo Mudryk seawal minit kelapan.
Seakan tersentak, Nottingham Forest kembali memperkemas corak permainan dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi tandukan pemain pertahanan, Willy Boly tujuh minit kemudian.
Serangan demi serangan mula diatur semula oleh kedua-dua pasukan demi memburu jaringan kedua namun tidak berhasil sekaligus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan terikat 1-1.
Bersambung babak kedua, beberapa percubaan nyaris menerjah gawang berjaya dihasilkan oleh penyerang Forest, Morgan Gibbs-White dan pemain Chelsea, Thiago Silva namun tiang menjadi penghalang.
Stadium menjadi riuh seketika apabila bekas pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi meletakkan Nottingham Forest di hadapan pada minit ke-74 selepas tendangan melengkungnya berhasil menewaskan Djordje Petrovic di pintu gol.
Pemain gantian, Raheem Sterling membalas kepercayaan barisan jurulatih dengan gol penyamaan pada minit ke-80 sebelum Nicolas Jackson muncul wira dengan jaringan kemenangan menerusi tandukan hasil hantaran lintang Reece James dua minit berselang.
Tujuh minit masa tambahan diberikan namun tiada jaringan tambahan dapat dihasilkan sehingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi tamat, Nottingham Forest 2-3 Chelsea.
Keputusan ini mengukuhkan tempat Chelsea di tangga ketujuh, semakin hampir untuk kembali beraksi di pentas Eropah manakala Nottingham Forest kekal di tangga ke-17 liga.
Chelsea akan berdepan Brighton and Hove Albion dalam aksi ke-37 liga sebelum menutup kempen musim ini dengan menanti kunjungan Bournemouth di Stamford Bridge.
Sementara, Nottingham Forest pula sekurang-kurangnya memerlukan keputusan seri pada perlawanan terakhir menentang satu lagi pasukan bawahan liga, Burnley bagi mengelakkan penyingkiran ke Liga Kejuaraan.