Kelab gergasi London, Chelsea bangkit daripada ketinggalan sebelum mengalahkan pendatang baru EPL, Burnley 4-1 di Turf Moor hari ini.
Kedua-dua pasukan turun dengan semangat positif selepas masing-masing meraih kemenangan ke atas Fulham dan Luton Town pada minggu lepas.
Begitupun, tuan rumah lebih bernasib baik apabila meraih gol pendahuluan pada minit ke-15 menerusi penyerang muda, Wilson Odobert selepas menerima hantaran Lyle Foster.
Menariknya, Odobert turut mencipta rekod sebagai penjaring gol termuda The Clarets pada usia 18 tahun. Ini sekaligus memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang Dwight McNeil yang melakukannya pada usia 19 tahun.
Tersentak, Chelsea menggandakan asakan ke arah kubu pertahanan Burnley. Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-42 menerusi gol sendiri Ameen Al-Dakhil.
Bersambung pada babak kedua, The Blues terus ghairah memburu gol kedua. Hasilnya, mereka dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil Stuart Attwell selepas Raheem Sterling dijatuhkan dalam kotak penalti.
Penalti yang diambil graduan akademi Manchester City, Cole Palmer pada minit ke-50 mudah menewaskan rakan sepasukan lamanya di City, James Trafford.
Menariknya, Palmer mencipta sejarah sebagai pemain kedua termuda Chelsea menjaringkan gol menerusi sepakan penalti dalam sejarah EPL.
Burnley makin tertekan apabila Sterling mencipta nama sebagai penjaring menerusi gol pada minit ke-65.
Pemain gantian, Nicolas Jackson melebarkan kelebihan pelawat dengan gol keempat pada minit ke-75. Itu merupakan gol keduanya dalam EPL musim ini.
Keputusan 4-1 ini sudah cukup untuk melonjakkan Chelsea ke tangga kesembilan dengan 11 mata. Manakala Burnley pula berada di tangga ke-18 dengan empat mata.
Selepas ini, The Clarets bakal bertemu Brentford pada 21 Oktober. Manakala The Blues pula bertemu Arsenal pada 22 Oktober.