Advertising
EPL: Chelsea Makin Hampiri Liverpool, Tundukkan Brentford
MakanBola
Brentford FC

Chelsea merapatkan jurang dengan Liverpool kepada dua mata apabila menewaskan Brentford 2-1 di Stamford Bridge.

Selepas mengetahui dua pencabar terdekat mereka, The Reds dan Arsenal keciciran mata, ini peluang buat anak buah Enzo Maresca meningkatkan tekanan kepada kedua-dua pasukan.

Brentford pula berharap dapat meraih kemenangan pertama di tempat lawan untuk musim 2024/25.

Ad

Penyerang Senegal, Nicolas Jackson dan Cole Palmer terus menjadi sandaran gol Maresca. Pengurus The Bees, Thomas Franks pula memberi kepercayaan kepada Bryan Mbeumo dan Yoane Wissa.

Separuh masa pertama menyaksikan The Blues berusaha menggugat tiga tonggak pertahanan Brentford yang tinggi lampai diketuai Ethan Pinnock.

Ad
Ad

Jackson hampir meletakkan Chelsea di hadapan pada minit ke-11 selepas berjaya mengatasi cabaran Pinnock. Malangnya, rembatan bekas penyerang Villareal itu berjaya dinafikan Mark Flekken.

Ad

Dua minit kemudian, giliran Palmer pula menguji kecekapan Flekken. Palmer turut senasib dengan Jackson apabila percubaannya dinafikan penjaga gol Belanda itu.

Chelsea terpaksa menunggu sehingga minit ke-43 untuk membuka tirai jaringan menerusi bek kiri Sepanyol, Marc Cucurella. Cucurella tenang menanduk hantaran Noni Madueke untuk menewaskan Flekken.

The Blues terus memberi tekanan kepada kubu pertahanan pelawat tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, anak buah Maresca terus memberi tekanan kepada Brentford untuk mendapatkan gol kedua perlawanan.

Penyokong Chelsea di Stamford Bridge seakan tidak percaya apabila Jackson terlepas peluang menyempurnakan hantaran Jadon Sancho pada minit ke-59.

Pemain gantian, Fabio Carvalho hampir menyamakan kedudukan buat The Bees pada minit ke-76. Bekas pemain Liverpool itu tergamam kerana percubaannya hanya singgah di palang.

Gol kedua The Blues akhirnya muncul pada minit 80 menerusi Jackson. Selepas menerima hantaran Enzo Fernandez, penyerang Senegal itu berlari ke arah kubu pertahanan Brentford sebelum meledakkan rembatan deras melepasi Flekken.

Penyokong Chelsea kemudiannya cemas apabila Mbeumo merapatkan jurang buat The Bees pada minit ke-90. Ini disusuli dengan tindakan pengadil melayangkan kad kuning kedua kepada Cucurella selepas tamat perlawanan.

Pada akhirnya, itu tidak cukup untuk menghalang Chelsea daripada meraikan kemenangan ke-10 mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Keputusan ini menyaksikan Chelsea kini mengumpul 34 mata, dua mata di belakang Liverpool. Brentford pula berada di tangga ke-11 liga dengan 23 mata.

Madueke dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.8. Beliau memiliki kelebihan 0.2 mata di hadapan Palmer dan Cucurella.

Selepas ini, The Blues kembali mengalihkan fokus kepada saingan Liga Konferens UEFA (UECL) dengan menentang Shamrock Rovers pada 20 Disember. Brentford pula bersiap sedia untuk aksi suku akhir Carabao Cup dengan Newcastle United pada 19 Disember.