Liverpool bangkit dari ketinggalan sebanyak dua kali sebelum mengikat Fulham 2-2 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25.
Selepas aksi EPL menentang musuh setempat, Everton ditangguhkan pada 7 Disember lalu kerana Ribut Darragh, The Reds berharap dapat meneruskan momentum kemenangan dalam liga.
Fulham pula ingin terus mencuri mata daripada pasukan besar EPL. Ini selepas mereka berjaya mencuri satu mata daripada Arsenal di Craven Cottage pada 8 Disember lalu.
Peledak berbisa Mesir, Mohamed Salah terus menjadi sandaran gol pengurus Liverpool, Arne Slot. Bisa penyerang Mexico, Raul Jimenez terus dipertaruhkan jurulatih Fulham, Marco Silva.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan menggunakan taktik fizikal untuk meraih kelebihan awal di Anfield. Situasi ini memaksa pengadil, Tony Harrington melayangkan kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan.
Bekas pemain Manchester United, Andreas Pereira menceriakan kem The Cottagers dengan meledakkan gol pendahuluan pada minit ke-11. Pereira mudah menyempurnakan hantaran Antonee Robinson melepasi penjaga gol Brazil, Alisson.
Lapan minit selepas itu, The Reds dipaksa bermain dengan 10 pemain. Ini selepas Andy Robertson dikesan menghalang Harry Wilson daripada terus mara ke kotak penalti Liverpool.
Luis Diaz hampir menyamakan kedudukan buat Liverpool pada minit ke-41. Malangnya, tandukan pemain sayap Colombia itu terlalu tinggi dan tidak menggugat penjaga gol Fulham, Bernd Leno.
The Reds berusaha mencari gol penyamaan tetapi kekentalan pertahanan The Cottagers memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Liverpool terus meningkatkan tekanan ke atas kubu pertahanan Fulham.
Gol penyamaan yang dicari-cari tuan rumah hadir pada minit ke-47 menerusi Cody Gakpo. Gakpo mudah menanduk hantaran Salah yang menewaskan Leno.
Tiga minit selepas itu, Gakpo sekali lagi menguji pertahanan The Cottagers selepas menerima hantaran Dominik Szoboszlai. Walau bagaimanapun, percubaannya berjaya diselamatkan Leno.
Fulham kemudiannya terpaksa membuat pertukaran pemain apabila Kenny Tete tidak dapat meneruskan permainan kerana kecederaan. Bekas bek kanan Leicester City, Timothy Castagne dibawa masuk sebagai pengganti.
Tatkala Liverpool terus ghairah menyerang, The Cottagers sekali lagi berada di hadapan menerusi penyerang gantian, Rodrigo Muniz pada minit ke-76. Muniz berjaya menolak bola ke dalam gawang tuan rumah meskipun dicabar Joe Gomez.
Tersentak, The Reds memasukkan Diogo Jota dan Harvey Eliott dengan harapan dapat mengubah kembali momentum perlawanan.
Jota kembali menceriakan penyokong di Anfield dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-86. Kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan kekal di tangga pertama dan kesembilan liga dengan 36 dan 24 mata. Sofascore memilih Jota sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.2.
Selepas ini, The Reds akan menentang Southampton untuk aksi suku akhir Carabao Cup pada 19 Disember. Fulham pula akan menentang lawan sama pada 22 Disember.