Perlawanan tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ke-10 menyaksikan Chelsea dan Manchester United terikat seri di Old Trafford.
Setelah menghadiahkan kemenangan pertama untuk Ruud Van Nistelrooy pada Khamis, United turun ke laman sendiri bagi melayani kunjungan jaguh dari London, Chelsea.
Kesebelasan utama Manchester United diketuai oleh bintang Portugal, Bruno Fernandes manakala Chelsea mengharapkan Cole Palmer dan Nicolas Jackson untuk memburu jaringan.
Penguasaan bola tampak seimbang buat kedua-dua kelab dengan Chelsea dilihat lebih banyak mengatur serangan ke arah kubu United hasil gerakan Palmer dan Neto di sebelah sayap.
Tuan rumah pula gemar melancarkan serangan balas pantas dan hampir mencipta jaringan menerusi percubaan Garnacho namun diselamatkan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Percubaan Marcus Rashford di saat akhir permainan hanya singgah di palang gol dan kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan tanpa sebarang jaringan dapat dihasilkan.
Separuh masa pertama tamat, Manchester United 0-0 Chelsea.
Kembali dari rehat, Pedro Neto milik peluang untuk memecah kebuntuan jaringan akan tetapi rembatan kencang pemain sayap itu sedikit tersasar di bahagian kiri gawang United.
Pada minit ke-68, pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah selepas Robert Sanchez mengasari Hojlund dan Bruno Fernandes dengan tenang menyudahkan tugas itu.
Respon pantas dari Chelsea apabila Moises Caicedo berjaya menyamakan kedudukan 1-1 buat The Blues hasil voli deras berpunca daripada sepakan penjuru pada minit ke-74.
Perlawanan di Old Trafford berakhir dengan keputusan 1-1.
Aksi EPL minggu hadapan menyaksikan United bakal beraksi di laman sendiri sekali lagi berdepan Leicester City manakala Chelsea dan Arsenal bertemu dalam saingan derbi London.