Advertisements
EPL: Declan Rice Pacu Arsenal Tewaskan Luton Town
EPL
MakanBola
Premier League

Pemain tengah England, Declan Rice memastikan Arsenal kekal di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kemenangan tipis 4-3 ke atas Luton Town.

Walaupun berada di kedudukan empat tercorot liga, Luton membuktikan mereka pasukan liat bila beraksi di Kenilworth Road. Ini dibuktikan dengan keputusan seri 1-1 mereka dengan Liverpool.

Fakta tersebut langsung tidak menggentarkan The Gunners yang mendahului pada minit ke-20 menerusi Gabriel Martinelli.

Bagaimanapun, penyokong tuan rumah kembali ceria apabila Gabriel Osho menyudahkan hantaran Alfie Doughty untuk gol penyamaan pada minit ke-25.

Arsenal memastikan mereka mendahului 2-1 semasa rehat menerusi bekas penyerang Manchester City, Gabriel Jesus pada minit ke-45.

Bersambung pada babak kedua, The Hatters bangkit dengan garang dan pantas mendapat gol penyamaan menerusi Elijah Adebayo pada minit ke-49.

Kombinasi gerakan dua bekas pemain Everton, Andros Townsend dan Ross Barkley mengelirukan pertahanan The Gunners sebelum disudahkan Barkley pada minit ke-57.

Begitupun, pendahuluan Luton tidak bertahan lama apabila bekas penyerang Chelsea, Kai Havertz menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu.

Dengan perlawanan memasuki minit-minit akhir, penyokong kedua-dua pasukan menyangka ia akan berakhir dengan keputusan seri.

Namun begitu, Rice memastikan Arsenal pulang dengan tiga mata menerusi gol pada minit ke-97. Keputusan ini memperkukuh kedudukan The Gunners di persada liga dengan 36 mata.

Selepas ini, Arsenal bakal berdepan Aston Villa yang dibimbing bos lama mereka, Unai Emery pada awal pagi 10 Disember.

Sementara Luton pula menerima kunjungan juara bertahan EPL musim lepas, Manchester City pada 10 Disember.