EPL: Liverpool Bangkit Elak Dimalukan Luton Town
MakanBola
Premier League
Sponsors

Kelab gergasi Merseyside, Liverpool bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih keputusan seri 1-1 dengan Luton Town di Kenilworth Road tengah malam tadi.

Perlawanan hari ini penuh emosi buat Luis Diaz yang berada di bangku simpanan hari ini. Ini susulan masih belum ada khabar berkenaan bapanya selepas diculik oleh kumpulan bersenjata ELN di Colombia.

Ad

Kedua-dua pasukan turun dengan misi berbeza. Tuan rumah mahu keluar dari zon penyingkiran selepas hanya mengutip lima mata.

Ad

Sementara The Reds pula memerlukan kemenangan bagi membolehkan mereka menghambat Tottenham Hotspur dan Manchester City yang menduduki kedudukan dua teratas EPL.

Babak pertama menyaksikan Liverpool banyak mendominasi tuan rumah. Darwin Nunez berpeluang meletakkan The Reds di hadapan pada minit ke-13 tetapi sepakannya terkena palang.

Ad

Benteng pertahanan The Hatters kental mempertahankan kedudukan 0-0 sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus memperkemas corak permainan bagi memburu gol pendahuluan.

Tatkala Liverpool terus mendominasi, Luton mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-80 menerusi bekas pemain sayap Manchester United, Tahith Chong.

Chong mudah menolak bola melepasi Alisson selepas menyudahkan hantaran pemain Burkina Faso, Issa Kabore.

Bagaimanapun, semangat juang tinggi yang dimiliki The Reds memastikan mereka pulang dengan satu mata menerusi Diaz pada minit akhir perlawanan.

Diaz menanduk bola hantaran Harvey Elliott melepasi penjaga gol tuan rumah, Thomas Kaminski bagi menceriakan penyokong Liverpool.

Sofascore menamakan Kabore dan Trent Alexander-Arnold sebagai pemain terbaik kedua-dua pasukan.

Kedua-duanya masing-masing mendapat 7.6 dan 7.9 mata. Dengan penilaian melebihi 0.3, Alexander-Arnold juga diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool berada di tempat ketiga dengan 24 mata, tiga mata di belakang City.

Sementara The Hatters pula berjaya keluar dari zon penyingkiran menerusi perbezaan gol walaupun berkongsi enam mata dengan Bournemouth.

Selepas ini, Luton bakal berdepan Manchester United di Old Trafford pada 11 November. Sementara The Reds pula berdepan Brentford di Anfield pada 12 November.