Man City meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah menumbangkan West Ham United di laman lawan pada awal pagi Ahad.
Setelah bangkit dari kekalahan di aksi pertama, West Ham dijadualkan menerima kunjungan juara bertahan, Man City di London dalam perlawanan ketiga liga.
Erling Haaland kekal menjadi sandaran utama City setelah meledak hatrik minggu lalu sementara Aaron Wan Bissaka bakal memperkuat posisi bek kanan West Ham.
Seawal minit ke-10, penyerang Norway ini meletakkan Man City di hadapan selepas memanfaatkan kesilapan lawan sebelum menewaskan penjaga gol West Ham, Alphonse Areola.
Permainan kembali seimbang setelah tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan 9 minit kemudian hasil jaringan sendiri Ruben Dias yang tertampan bola hantaran lintang Jarrod Bowen.
Tersentak, anak didik Pep Guardiola terus memperkemas permainan dan kembali mendahului sekali lagi menerusi rembatan kencang kaki kiri Erling Haaland pada minit ke-30.
Separuh masa pertama tamat, West Ham 1-2 Man City.
Kembali dari rehat menyaksikan West Ham melakukan pertukaran dengan membawa masuk Lukasz Fabianski bagi menggantikan Areola di pintu gol tuan rumah.
The Hammers seakan disuntik semangat baharu dengan hampir meledak gol kedua namun rembatan Mohammed Kudus sekadar mengenai palang gol City.
Impian skuad bimbingan Julen Lopetegui bagi meraih satu mata tidak kesampaian setelah Haaland melengkapkan hatrik keduanya dalam saingan liga pada minit ke-83.
Aksi di Stadium London berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Man City.