EPL: Hatrik Amad Diallo Bantu Manchester United Kalahkan Southampton
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Manchester United bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Southampton dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford.

The Red Devils semakin berkeyakinan selepas mara ke pusingan keempat The Emirates FA Cup menerusi penentuan sepakan penalti.

Ad

Southampton pula memburu kemenangan kedua dalam EPL selepas kali terakhir melakukannya dengan Everton pada 2 November lalu.

Ad

Pengurus United, Ruben Amorim meletakkan Noussair Mazraoui di bek kiri menggantikan Diogo Dalot yang menjalani penggantungan perlawanan. Kamaldeen Sulemana dan Tyler Dibling menjadi pilihan Ivan Juric untuk merobek gawang United.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Old Trafford.

Ad

Sulemana hampir meletakkan The Saints di hadapan pada minit ke-12 selepas berjaya melepasi cabaran Leny Yoro. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Andre Onana.

Ad

United hampir memecah kebuntuan menerusi kapten, Bruno Fernandes pada minit ke-36. Pemain perancang Portugal itu hampa apabila percubaannya berjaya diselamatkan Aaron Ramsdale.

Tatkala The Red Devils berusaha mencari gol pendahuluan, Southampton mendahului pada minit ke-43 menerusi gol sendiri Manuel Ugarte. Sepakan sudut Dibling terkena Ugarte sebelum menerjah jaring.

United berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung selepas rehat, Amorim membuat tiga pertukaran pemain. Beliau memasukkan Joshua Zirkzee, Toby Collyer dan Antony.

Perubahan yang digerakkan jurulatih Portugal itu mula mengubah momentum United. Garnacho menguji Ramsdale pada minit ke-61 tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol England itu.

Tatkala Southampton kelihatan bakal membawa pulang tiga mata dari Old Trafford, Diallo menyumbat gol penyamaan pada minit ke-82.

Situasi ini mendorong Amorim memasukkan Harry Maguire dan Christian Eriksen untuk meningkatkan elemen serangan United. Juric pula memasukkan Nathan Wood dan Paul Onuachu dengan harapan dapat mencuri mata daripada tuan rumah.

Malangnya, apa yang diharapkan pengurus Southampton itu tidak berlaku. Selepas bertukar hantaran dengan Eriksen, Diallo melepaskan rembatan voli yang menewaskan Ramsdale lapan minit selepas itu.

Pemain sayap muda Ivory Coast itu meraih hatrik pertama dalam kariernya apabila mudah menolak bola ke dalam gawang kosong Southampton pada minit ke-93. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini melonjakkan United ke tangga ke-12 liga dengan 26 mata. The Saints pula kekal di tangga tercorot dengan enam mata.

Sofascore memilih Diallo sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 10. Beliau jauh meninggalkan pemain Southampton, Lesley Ugochukwu dan Eriksen yang masing-masing mendapat 7.6 dan 7.4.

Selepas ini, United akan melayan kunjungan Brighton pada 19 Januari. Southampton pula akan bertandang ke City Ground untuk menentang Nottingham Forest pada hari yang sama.