Minggu kedua saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad menyaksikan Liverpool mencatat kemenangan bergaya ke atas Brentford.
Setelah memulakan kempen liga dengan 3 mata, The Reds turun ke laman sendiri bagi melayani kunjungan Brentford yang meraih kemenangan ke atas Crystal Palace minggu lalu.
Virgil Van Dijk ditugaskan untuk mengetuai kesebelasan utama Liverpool sementara Brentford mempertaruh duo berbisa, Yoane Wissa dan Bryan Mbeumo di jentera serangan.
Turun serba merah, Liverpool tidak menunggu lama untuk berada di hadapan seawal minit ke-13 menerusi rembatan kencang Luis Diaz yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mark Flekken.
Separuh masa pertama tamat, Liverpool 1-0 Brentford.
Kembali dari bilik persalinan, hanya satu tambahan gol disumbat oleh Liverpool menerusi ayam tambatan, Mo Salah pada minit ke-70.
Aksi di Anfield berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Liverpool.
Kempen liga pada minggu depan menyaksikan pertemuan yang ditunggu melibatkan Liverpool dan Man United di Old Trafford manakala Brentford menanti pendatang baharu, Southampton.