Kelab gergasi Merseyside, Liverpool membuka kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2024/25 dengan kemenangan apabila menewaskan Ipswich Town di Portman Road.
Perlawanan ini merupakan aksi pertama Liverpool di bawah pengendali baru, Arne Slot. Ini juga kali pertama buat Ipswich beraksi dalam EPL selepas kali terakhir melakukannya 22 tahun yang lalu.
Penyerang berbisa Mesir, Mohamed Salah terus mendapat kepercayaan Slot untuk mengetuai serangan The Reds. Sementara bekas bintang muda Chelsea, Omari Hutchinson diberi tugas oleh Kieran McKenna untuk merobek gawang pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool berusaha menembusi gawang pendatang baru EPL itu menerusi gandingan Salah, Diogo Jota dan Luis Diaz.
Malangnya, jentera serangan mereka kerap tidak mendapat bola disebabkan kesungguhan pemain Ipswich merebut bola terutama di bahagian tengah.
Malah, tuan rumah hampir mendahului seawal minit ke-19 menerusi Jacob Greaves selepas menerima hantaran kapten, Sam Morsy. Tandukan bekas bek tengah Hull City itu mudah ditangkap Alisson.
Hutchinson terus menjadi duri dalam daging kepada pertahanan The Reds setiap kali The Tractor Boys melancarkan serangan balas. Beliau hampir menyumbat gol pertama Ipswich pada minit ke-32 tetapi sepakannya mudah dinafikan Alisson.
Percubaan terbaik Liverpool hadir pada minit ke-44 menerusi Trent Alexander-Arnold tetapi sepakannya tidak menggugat penjaga gol Ipswich, Christian Walton.
Kedua-dua pasukan terus bersaing sengit di atas padang tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Liverpool memasukkan Ibrahima Konate menggantikan Jarrell Quansah bagi memperketat kawalan di bahagian pertahanan.
Pemain Ipswich kemudiannya mendakwa mereka patut diberi penalti selepas Liam Delap dijatuhkan Virgil van Dijk dalam kotak penalti pada minit ke-54. The Reds bernasib baik penalti tidak diberi kerana kesalahan ofsaid.
Jota bernasib malang apabila tandukannya pada minit ke-60 hanya mengenai bahagian sipi gol The Tractor Boys. Penyerang Sepanyol itu kemudian menebus kehampaannya dengan menyudahkan hantaran Salah untuk meletakkan Liverpool di hadapan.
Lima minit selepas itu, giliran Salah pula mencipta nama sebagai penjaring. Selepas bertukar hantaran dengan Dominik Szoboszlai, bekas penyerang Chelsea itu mudah menewaskan Walton.
Ini sekaligus menjadikannya penjaring terbanyak perlawanan pembukaan dalam sejarah EPL dengan sembilan gol. Salah mengatasi beberapa legenda seperti Alan Shearer, Wayne Rooney dan Frank Lampard mengikut laporan BBC Sport.
Ipswich berusaha merapatkan kedudukan menerusi pemain gantian dari Iraq, Ali Al-Hamadi pada minit ke-79 tetapi disekat Alisson. Liverpool terus memberi tekanan kepada The Tractor Boys tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan The Reds mengikut jejak musuh ketat mereka, Manchester United meraih kemenangan dalam aksi pembukaan EPL musim 2024/25. Salah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.9.
Selepas ini, The Tractor Boys bakal berkunjung ke Stadium Etihad untuk menentang juara bertahan, Manchester City pada 24 Ogos. Sementara The Reds pula akan menentang Brentford di Anfield pada 25 Ogos.