Advertisements
EPL: Liverpool Dimalukan Leicester City, Van Dijk Salahkan Barisan Serangan
EPL
MakanBola
Ademola Lookman

Dalam tempoh tiga hari, Manchester City dapat menikmati keputusan perlawanan mereka dengan Leicester City. Beberapa hari sebelumnya, mereka menang bergaya dengan keputusan perlawanan 6-3. Dan kali ini, Foxes mengejutkan pesaing kejuaraan City, Liverpool dengan kemenangan tipis 1-0.

Bagi pengurus Leicester Brendan Rodgers, ia merupakan satu kemenangan bermakna kepada kelab. Ini kerana Foxes berdepan masalah kemerosotan prestasi dan kecederaan ramai pemain. Ini termasuk kecederaan yang dialami bek-bek tengah iaitu Jonny Evans, Caglar Soyuncu dan Wesley Fofana. Dengan Jannik Vestergaard kelihatan goyah, Rodgers membuat percaturan dengan meletakkan Wilfried Ndidi dan Daniel Amartey sebagai bek tengah.

Tidak mahu pisang berbuah dua kali, Hamza Choudhry diletakkan sebagai pemain tengah bertahan di hadapan barisan pertahanan. Keputusan Rodgers berbaloi apabila Reds yang dibimbing Jurgen Klopp gagal menembusi pertahanan Leicester. Ini menjadikan Foxes pasukan pertama yang gagal dibolosi Liverpool selepas Real Madrid pada April lepas.

Bagi Rodgers, persembahan anak buahnya dalam perlawanan malam tadi bersifat luar biasa – dengan mengambil kira isu kecederaan dan kerapuhan barisan pertahanan. Bagi beliau, ia merupakan satu kejayaan besar ke atas salah satu kelab terbaik di dunia.

Satu lagi keputusan Rodgers ialah membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Ademola Lookman dan Youri Tielemans. Sekali pandang, ia berisiko kerana ia mendedahkan benteng pertahanan Leicester kepada asakan bertubi-tubi jentera serangan Liverpool diketuai Mohamed Salah. Tetapi Lookman membalas kepercayaan pengendali berdarah Ireland Utara itu dengan menyudahkan hantaran Kiernan Dewsbury-Hall pada minit ke-59.

Liverpool berpeluang menyamakan kedudukan apabila pengadil Michael Oliver memberi penalti susulan kekasaran Amartey ke atas Salah pada minit ke-15. Rodgers dan seluruh penyokong Leicester menyangka sepakan mereka seterusnya ialah sepak mula selepas Reds menjaringkan gol penyamaan. Tetapi Schmeichel menyertai Jonas Lossl sebagai penjaga gol yang berjaya menafikan percubaan penalti penyerang Mesir itu. Kali terakhir Salah terlepas penalti ialah pada 2017 semasa Reds menentang Huddersfield.

Penalti Salah ibarat ringkasan prestasi Liverpool sepanjang perlawanan. Setiap peluang yang sepatutnya disudahkan oleh Diogo Jota dan Sadio Mane gagal dimanfaatkan. Di tepi padang, Jurgen Klopp merasa tidak senang duduk melihat kesilapan pilihan yang dibuat pemain. Dalam temubual pasca-perlawanan, bekas pengendali Borussia Dortmund itu mengakui pasukannya tidak bermain dengan baik – sentimen yang turut dikongsi bek tengah Virgil van Dijk.

Sementara itu Virgil van Dijk menyalahkan bahagian serangan yang gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang.

“Saya rasa mereka layak menang tetapi sudah tentu ia terpulang kepada kami (cara bermain). Saya rasa kami sangat teruk semasa menyerang.”

“Banyak hantaran lintang dan mereka bertahan dengan baik. Bukan aksi yang baik. Mereka tidak mencipta banyak peluang namun kelihatan berbahaya di mana mereka sangat bagus akan perkara itu.” Jelas Virgil van Dijk selepas tamat permainan.

Untuk perlawanan seterusnya, Klopp bakal berdepan Chelsea dan rakan senegaranya Thomas Tuchel. Dengan Chelsea turut memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, jurang mata antara Reds dengan City akan menjadi 12 mata. Dan ia satu kelebihan yang tidak akan disia-siakan oleh Manchester City berdasarkan usaha kejuaraan liga mereka sebelum ini.