EPL: Liverpool Gah Atasi Tentangan Aston Villa
EPL
Liverpool FC
Advertisements

Liverpool memastikan perlawanan EPL ke-300 pengurus mereka, Jurgen Klopp berakhir dengan noktah ceria dengan mengalahkan Aston Villa 3-0 di Anfield hari ini.

Biarpun tetingkap perpindahan musim panas 2023 sudah ditutup, spekulasi yang mengaitkan perpindahan Mohamed Salah ke Al-Ittihad masih lagi panas.

Dengan tetingkap perpindahan Arab Saudi hanya ditutup pada 20 September ini, penyokong The Reds merasa tidak senang duduk. Begitupun, Liverpool yang turun sebagai tuan rumah langsung tak terganggu dengan spekulasi perpindahan Salah itu.

Advertisements

Malah, mereka meraih gol pendahuluan seawal minit ketiga menerusi pemain tengah Hungary, Dominik Szoboszlai. Szoboszlai melepaskan rembatan lencong yang menewaskan penjaga gol The Villains, Emiliano Martinez.

Dengan Trent Alexander-Arnold diberi lesen membuat hantaran-hantaran merbahaya, Villa berdepan kesukaran menyekat asakan Liverpool. Dan nasib mereka bertambah malang apabila bola sepakan Darwin Nunez terkena Matty Cash sebelum masuk ke gawang pada minit ke-22.

Bersambung pada babak kedua, The Villains berusaha mencari gol bagi merapatkan jurang dengan tuan rumah. Malangnya, giliran Salah pula muncul sebagai penjaring pada minit ke-55.

Advertisements

Penyerang Mesir itu bijak mencari ruang dalam pertahanan pelawat sebelum mudah menolak bola sepakan sudut Alexander-Arnold melepasi Martinez.

Ini menjadikan Salah pemain pertama menjaringkan atau mencipta bantuan gol dalam 10 perlawanan EPL berturut-turut sekaligus mengulangi rekod yang diciptanya pada 2021.

Aston Villa berusaha untuk bangkit mencari gol saguhati tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini melonjakkan Liverpool ke tangga ketiga dengan Villa kekal di tangga ke-11.

Advertisements

Selepas ini, The Reds bakal berdepan Wolves di Molineux pada 16 September. Manakala Villa pula berdepan Crystal Palace di Villa Park pada hari yang sama.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram