Liverpool terus memburu Manchester City di persada liga apabila meraih kemenangan 3-1 ke atas West Ham United di Anfield.
Selepas bangkit daripada ketinggalan buat kali keempat di LASK beberapa hari lepas, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu anak-anak buahnya memburu gol awal.
Separuh masa pertama menyaksikan Liverpool mendahului pada minit ke-16 menerusi penalti Mohamed Salah. Ini selepas penyerang Mesir itu dijatuhkan Nayef Aguerd dalam kotak penalti.
Begitupun, pasukan pelawat membuktikan mereka pasukan yang liat. Jarrod Bowen memastikan The Hammers terikat 1-1 dengan The Reds menerusi gol pada minit ke-42.
Bersambung pada babak kedua, Liverpool terus memburu gol kedua. Hasilnya, Darwin Nunez mudah menolak hantaran lambung Alexis MacAllister pada minit ke-60.
West Ham makin derita apabila tandukan Virgil van Dijk mudah disempurnakan Diogo Jota pada minit ke-85.
Dua gol dalam separuh masa kedua sudah cukup untuk The Reds meraih kemenangan di hadapan penyokong mereka hari ini.
Keputusan ini membolehkan Liverpool merapatkan jurang dengan Manchester City kepada dua mata. Manakala West Ham pula di tangga ketujuh dengan 10 mata.
Selepas ini, The Hammers bakal melayan kunjungan Sheffield United pada 30 September. Manakala The Reds pula berdepan Tottenham Hotspur pada tengah malam 1 Oktober.