EPL: Liverpool Lega Bangkit Atasi Bournemouth
EPL
Liverpool
Advertisements

Pasukan gergasi Merseyside, Liverpool terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menewaskan AFC Bournemouth 3-1 dalam aksi kedua EPL di Anfield hari ini.

Selepas dibelasah 9-0 musim lepas, The Cherries yang dibimbing pengurus baru dari Sepanyol, Andoni Iraola tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Dan sebaik babak pertama bermula, Bournemouth terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ketiga menerusi bekas penyerang Bristol City, Antoine Semenyo.

Advertisements

Tuan rumah bernasib baik apabila pelawat tidak diberi sepakan penalti pada minit ke-25 apabila Dominic Solanke dijatuhkan dalam kotak penalti. Bagaimanapun, rayuan mereka tidak dilayan pengadil Thomas Bramall.

Tiga minit kemudian, Luis Diaz menyamakan kedudukan buat The Reds. Kemudian, pada minit ke-34, Liverpool dianugerahkan sepakan penalti selepas Dominik Szoboszlai dijatuhkan Joe Rothwell.

Advertisements

Peledak berbisa The Reds, Mohamed Salah mengambil sepakan penalti berkenaan tetapi berjaya ditepis Neto. Bagaimanapun, bola berkenaan berjaya disepak beliau buat kali kedua bagi meletakkan Liverpool mendahului 2-1.

Bersambung pada babak kedua, tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Alexis MacAllister didakwa membuat terjahan kaki tinggi kepada Rothwell pada minit ke-58.

Advertisements

Dan mengikut laporan Talksport, bekas pemain tengah Brighton itu mengikut jejak langkah Darwin Nunez sebagai pemain baru Liverpool yang dibuang padang dalam tempoh dua musim.

Itu langsung tidak menjejaskan The Reds dengan mereka menyumbat gol ketiga menerusi Diogo Jota dua minit selepas insiden itu berlaku.

Advertisements

Bagi melindungi bahagian tengah tuan rumah, Jurgen Klopp memberi peluang kepada Wataru Endo membuat debut di Anfield menggantikan Cody Gakpo.

The Cherries berusaha mencari gol tambahan bagi merapatkan jurang tetapi keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan ini dilihat lebih baik daripada apa yang dialami pelawat pada musim lepas. Bagi Liverpool pula, kemenangan ini melonjakkan mereka ke tangga ketiga liga dengan empat mata.

Selepas ini, Bournemouth berdepan satu lagi ujian sukar menentang Tottenham Hotspur di Stadium Vitality pada 26 Ogos. Sementara The Reds pula berdepan pesaing untuk slot Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini, Newcastle United di St. James Park pada 27 Ogos.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram