Liverpool bangkit mendapatkan rentak kemenangan selepas menewaskan Tottenham Hotspurs dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Reds tampil dengan barisan pemain terbaik bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga setelah hanya mencatatkan satu kemenangan dalam tiga aksi terakhir liga sekaligus menjejaskan peluang merangkul juara.
Begitu juga dengan Spurs yang tumpas dalam kesemua tiga perlawanan sebelum ini termasuklah kekalahan 0-2 kepada seteru setempat London, Chelsea FC beberapa hari yang lalu.
Mo Salah meletakkan Liverpool di hadapan ketika permainan baru memasuki minit ke-16 hasil bantuan pemain sayap Belanda, Cody Gakpo untuk menceriakan ribuan penyokong di Anfield.
Permainan pantas dan beberapa serangan merbahaya terus dilancarkan anak-anak buah Jurgen Klopp sementara Spurs hanya dilihat mampu menguasai bola beberapa ketika dengan penguasaan sedikit memihak mereka.
Ketika permainan seakan berakhir dengan keputusan 1-0, bek kiri, Andy Robertson menggandakan jaringan buat Liverpool bagi memastikan pasukannya memasuki bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.
Sepuluh minit selepas rehat, Liverpool terus selesa mendahului 3-0 menerusi tandukan padu Cody Gakpo yang dibantu oleh pemain tengah muda, Harvey Elliot sekaligus membuatkan Spurs terus merana.
Sembilan minit kemudian, giliran Harvey Elliot pula mencetak nama sebagai penjaring buat tuan rumah apabila tendangan lencong pemain berusia 21 tahun itu berjaya menewaskan Guglielmo Vicario di pintu gol Spurs.
Usaha pelawat untuk mendapatkan gol akhirnya membuahkan hasil apabila Spurs berjaya meledak dua gol dalam masa lima minit melalui Richarlison pada minit ke-72 dan Son Heung-min pada minit ke-77.
Aksi di Anfield berakhir dengan kemenangan buat Liverpool dengan keputusan 4-2.
Kemenangan ini membantu The Reds untuk terus mengukuhkan kedudukan di tempat ketiga, sementara impian Spurs untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan semakin pudar dengan kekalahan memalukan ini.
Perlawanan seterusnya bakal menemukan Liverpool dan pasukan tempat keempat, Aston Villa di laman lawan manakala Spurs akan menanti kunjungan pasukan bawahan, Burnley.