Man United kembali temui rentak kemenangan dalam EPL apabila mengalahkan Burnley di Turf Moor awal pagi ini.
Selepas tiga kali tewas termasuk di tangan Bayern Munich baru-baru ini, anak-anak buah Erik ten Hag amat memerlukan kemenangan untuk kembali menstabilkan kempen mereka.
Justeru, tidak hairanlah United tampil garang pada babak pertama. Biarpun Burnley memiliki kelebihan sebagai tuan rumah, barisan tengah pelawat terdiri daripada Casemiro, Scott McTominay dan pemain muda Tunisia, Hannibal Mejbri tenang mengawal keadaan.
Peluang terbaik Burnley hadir pada minit ke-10 menerusi Zeki Amdouni tetapi percubaan pemain Switzerland itu dinafikan Andre Onana.
The Red Devils menyangka mereka telah meraih gol pendahuluan menerusi bek tengah veteran, Jonny Evans pada minit ke-25.
Bagaimanapun, VAR membatalkan gol tersebut selepas mendapati penyerang Denmark, Kasper Hojlund menghalang penjaga gol Burnley, James Trafford pada kedudukan ofsaid.
Dengan kedudukan masih terikat 0-0, detik magis United akhirnya muncul pada minit ke-45. Kapten Bruno Fernandes menerima hantaran Evans sebelum melakukan voli menewaskan Trafford.
Bersambung pada babak kedua, The Red Devils berusaha menambah koleksi gol mereka. Hojlund hampa apabila dua percubaannya pada minit ke-46 dan 56 gagal menemui sasaran.
Dengan perlawanan memasuki minit-minit akhir, ten Hag memasukkan Sofyan Amrabat untuk penampilan debutnya. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini melonjakkan United ke tangga kelapan liga selepas enam perlawanan. Manakala Burnley pula kekal di tangga tercorot dengan satu mata.
Selepas ini, The Red Devils bakal berdepan Crystal Palace di Old Trafford pada 30 September. Manakala The Clarets pula berdepan Newcastle United pada hari sama.