Advertisements
UCL: Manchester United Teruskan Rentak Kekalahan Kepada Bayern Munich
UEFA Champions League
MakanBola
FC Bayern Munich

Gergasi EPL, Manchester United terus dirundung kekalahan apabila tewas kepada gergasi Bundesliga, Bayern Munich dalam aksi pertama Kumpulan A UCL semalam.

Selepas dimalukan Brighton dalam aksi EPL minggu lepas, The Red Devils sedar mereka berdepan tugas sukar mencipta kemenangan di Allianz Arena.

Kerapuhan pertahanan sejak awal musim dieksploitasi Die Roten dengan dua gol masing-masing disumbang Leroy Sane (minit ke-28) dan Serge Gnabry (minit ke-32).

Ironinya, kedua-duanya masing-masing pernah beraksi untuk dua musuh United, Manchester City dan Arsenal. Dominasi tuan rumah memastikan keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kasper Hojlund mencipta gol sulungnya bersama The Red Devils pada minit ke-49. Malangnya, kelemahan pertahanan United terus menyukarkan mereka untuk meneruskan kebangkitan.

Pengadil kemudiannya menganugerahkan sepakan penalti kepada Die Roten selepas VAR mengesan bola Dayot Upamecano terkena tangan Christian Eriksen. Bekas sasaran United, Harry Kane tenang menewaskan penjaga gol Andre Onana untuk meletakkan Bayern kembali di hadapan pada minit ke-53.

Bagaimanapun, Casemiro membuatkan penyokong tuan rumah cemas apabila menyumbat gol kedua pelawat pada minit ke-88 selepas menerima hantaran Anthony Martial.

Bayern memastikan kemenangan menerusi Mathys Tel pada minit ke-92. Sementara gol ketiga United yang disumbang Casemiro pada minit ke-95 dilihat sudah terlambat.

Dengan krisis kecederaan dan kerapuhan pertahanan yang membelenggu The Red Devils ketika ini, mereka memerlukan tuah jika ingin mengalahkan Burnley pada 24 September ini.