Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia melihat mentaliti dan budaya kelab Eropah sebagai pemangkin kejayaan pasukan itu.
Legenda Liverpool itu berpandangan sedemikian apabila diminta mengulas pencapaian hebat JDT termasuk pada musim 2025/26.
“Kami seperti sebuah kelab Eropah yang berpangkalan di Malaysia, dengan mentaliti yang sama sepenuhnya,” katanya dalam satu temu bual bersama akhbar United Kingdom, Daily Mail.
Musim lalu menyaksikan JDT bukan saja mengekalkan kejuaraan liga untuk musim ke-12 berturut-turut. Malah, pasukan itu turut meraih trofi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia.
Selain itu, JDT juga berjaya mara ke separuh akhir Shopee Cup dan suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Garcia melihat budaya kelab Eropah sebagai kunci dalam memacu pembangunan Harimau Selatan terutama di peringkat akar umbi. Beliau juga cukup gembira bersama JDT dan tidak sabar mahu membawa pasukan itu ke tahap seterusnya.
“Akademi diuruskan oleh jurulatih-jurulatih yang mendapat latihan di Sepanyol. Ia cukup sempurna bagi saya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur serta tidak sabar melihat di mana kita boleh membawa kelab ini pada masa akan datang,” tambahnya.
Garcia sudah menggariskan pelan jangka panjang JDT agar terus berdaya saing untuk tahun-tahun mendatang. Salah satu daripadanya ialah pelancaran JDT+ yang dibuat baru-baru ini.