Manchester United mulakan era baru di bawah kepimpinan Ruben Amorim dengan aksi longlai selepas diikat Ipswich Town 1-1 dalam satu aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Portman Road.
Manchester United memperoleh jaringan pertama seawal minit ke-2 menerusi jaringan Marcus Rashford selepas menerima hantaran Amad Diallo.
Ipswich Town hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-10 namun sepakan deras Liam Delap berjaya ditepis Onana.
Liam Delap sekali lagi menguji pertahanan United yang dilihat semakin goyah menjelang rehat masa pertama dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-40 namun Onana sekali lagi menyelamatkan United.
Omari Hutchinson akhirnya muncul wira Ipswich Town selepas sepakan kaki kirinya menerjah jaring menjadikan kedudukan 1-1 sebelum tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak ke-2, kedua-dua pasukan seimbang berbalas serangan namun buntu mendapatkan sebarang jaringan.
Ipswich Town hampir menghukum kelaian United pada minit ke-87 menerusi sepakan Clark namun Onana sekali lagi menyelamatkan gawang United.
Aksi di Portman Road Stadium berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Manchester United bakal melayani kunjungan Everton pada Ahad, 1 Disember ini selepas aksi Liga Europa menentang Bodo pada Jumaat, 29 November ini.