Advertisement
Erick Thohir Beri Amaran Keras Kepada Elkan Baggott
Asia Tenggara
MakanBola
PSSI

Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir memberi amaran keras kepada Elkan Baggott untuk kekal komited bersama Indonesia.

Isu antara Baggott dengan PSSI timbul apabila nama bek tengah Ipswich Town itu disisihkan oleh jurulatih Shin Tae-yong untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan ini.

Apabila diminta menjelaskan sebab Baggott tidak dipanggil, jurulatih Korea Selatan itu hanya memberi jawapan ini kepada media, “”Masalah Elkan mungkin langsung tanyakan kepada Elkan. Elkan yang lebih tahu.”

Ini disusuli tindakan bek tengah berusia 21 tahun itu memadamkan nama PSSI daripada profil media sosialnya termasuk Instagram. Tindakan Baggott mencetuskan spekulasi tentang status hubungannya dengan badan induk bola sepak Indonesia itu.

Kini, Erick menyatakan semua pemain yang dipilih mewakili Timnas Indonesia perlu komited terhadap pasukan itu.

Seandainya sesetengah pemain enggan mewakili Tim Garuda di peringkat antarabangsa, itu bukan satu isu buat Menteri Badan Usaha Milik Negara itu.

Ini kerana PSSI bersedia mencari pemain-pemain lain yang sedia menyatakan komitmen untuk beraksi bersama Indonesia. Erick turut melihat ketiadaan sesetengah pemain seperti Elkan tidak akan memberi kesan kerana pasukan itu memiliki ramai pemain sebagai alternatif.

“Sekarang ada Justin (Hubner), ada Jay (Idzes), ada (Rizky) Ridho, ada (Muhammad) Ferarri, ada Jordi (Amat), bahkan Nathan (Tjoe-A-On) bisa main ke bawah, Sandy Walsh bisa main ke bawah, cukup tebal.

“Jadi kita harapkan persaingan pemain ada. Dan saya harapkan juga pemain harus serius buat semua ya, bukan hanya buat Elkan (Baggott). Buat semua pemain yang memang kurang komited memperkuat skuad kebangsaan.

“Ya, mungkin pilih mungkin atau dia memilih dengan ya, kita juga tidak mahu memaksa. Tapi kan skuad Indonesia akan jalan terus tanpa siapapun termasuk yang 11 ini.

“Ya kalau tidak mahu main, ya kita cari lagi pemain lain yang mahu Merah Putih,” katanya kepada media semalam seperti dilaporkan Viva Goal Indonesia.

Selepas seri tanpa jaringan dengan Tanzania semalam, Indonesia kini fokus untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Iraq dan Vietnam pada 6 dan 11 Jun. Kedua-dua perlawanan bakal berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno.