Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir telah mengambil inisiatif untuk memeriksa sendiri keadaan rumput di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) sebelum aksi Indonesia menentang Australia.
Stadium Gelora Bung Karno merupakan venue yang bakal digunakan timnas Indonesia bagi mengharungi aksi kedua pusingan ketiga Piala Dunia 2026 menentang Australia yang dijadulkan berlangsung pada 10 September.
Erick yang juga Menteri Perusahaan Indonesia telah memeriksa sendiri keadaan rumput dan persediaan GBK dalam memberikan lapangan terbaik buat kedua-dua pasukan beraksi.
“Pagi tadi memeriksa rumput stadium GBK menjelang perlawanan Indonesia menentang Australia. InsyaAllah berlangsung lancar,” kongsi Erick di laman X.
Usaha Erick dalam memastikan segalanya berjalan sempurna tidak terhenti di situ sahaja. Ini kerana, Erick telah mengadakan pertemuan dengan jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong bagi membincangkan persediaan pasukan Indonesia dalam menghadapi Australia.
“Kami membincangkan persiapan Timnas Indonesia menjelang aksi menentang Australia di pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia. Insyallah timnas akan bermain dengan maksima dan memberikan yang terbaik untuk merah putih,” kongsinya lagi di laman X.
Perlawanan bertemu Australia ini adalah perlawanan kedua buat kedua-dua pasukan dalam Kumpulan C. Indonesia telah mencipta kejutan pada aksi pertama apabila berjaya mengikat Arab Saudi dengan keputusan 1-1 di gelanggang lawan.
Manakala Australia perlu menelan kekalahan 0-1 kepada Bahrain di gelanggang sendiri. Biarpun menguasai hampir seluruh permainan, namun jaringan sendiri Harry Soutar di penghujung perlawanan sudah cukup untuk menghadiahkan Bahrain tiga mata berharga.