Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir baru-baru ini memuji langkah progresif yang diambil oleh Vietnam dalam melonggarkan peraturan naturalisasi demi memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.
Menurutnya, tindakan berani itu membuktikan bahawa bola sepak hari ini merupakan salah satu sukan global yang tidak hanya lagi dibina melalui bakat tempatan semata-mata malah ianya turut disertai oleh bakat dari luar negara.
“Vietnam baru sahaja membuat satu perubahan besar pada 1 Julai apabila kerajaan mereka melonggarkan peraturan naturalisasi dengan membuka pintu kepada pemain berdarah Vietnam di seluruh dunia.
“Mereka memiliki komuniti pemain bola sepak berdarah Vietnam yang besar di Amerika Syarikat, Australia dan Eropah. Ini menunjukkan bahawa bola sepak hari ini adalah sukan global,” kata Erick Thohir seperti yang dipetik TheThao247.
Berdasarkan pindaan terbaru kepada undang-undang Kewarganegaraan Vietnam, individu yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan atau perlindungan negara, atau membawa manfaat kepada Republik Sosialis Vietnam, boleh dipertimbangkan untuk menerima kewarganegaraan tanpa perlu memenuhi syarat pentadbiran yang ketat seperti sebelum ini.
Langkah ini dijangka mempercepatkan proses naturalisasi pemain berbakat, termasuk mereka yang bermain di luar negara tetapi memiliki darah Vietnam, serta pemain asing yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan V.League. Ini bakal memberi ruang kepada pasukan kebangsaan Vietnam untuk memperkukuh skuad mereka dengan lebih cepat dan berkesan.
Kini, pasukan kebangsaan Vietnam sudah pun diperkuatkan dengan beberapa pemain naturalisasi dan pemain berdarah Vietnam yang menonjol seperti Dang Van Lam (berdarah Vietnam-Russia), Filip Nguyen (Vietnam-Republik Czech), serta Cao Pendant Quang Vinh (berdarah Vietnam dan pernah beraksi di Perancis).
Sebelum ini, penyerang Brazil, Rafaelson, yang tidak mempunyai darah Vietnam, telah dipertimbangkan untuk naturalisasi kerana prestasinya yang mengagumkan di V.League. Selepas melengkapkan proses berkenaan, beliau menukar namanya kepada Nguyen Xuan Son. Xuan Son kini sah menjadi warganegara Vietnam dan sedia beraksi bersama skuad kebangsaan jika diperlukan.
Dasar baharu Vietnam ini dilihat sebagai satu langkah drastik dan pantas, terutamanya jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara lain.
Dalam konteks kejohanan besar yang bakal tiba seperti Kelayakan Piala Dunia 2026 zon Asia, keterbukaan Vietnam dalam menerima bakat dari seluruh dunia dijangka memberi kelebihan besar dari segi kualiti serta kedalaman skuad mereka. Pendekatan ini turut mencerminkan kesungguhan mereka untuk bersaing di pentas antarabangsa