Erick Thohir Sokong Infantino, Yakin Bola Sepak Indonesia Akan Lebih Maju Kehadapan
MakanBola
FIFA

Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir antara figura yang menyokong usaha Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino menjual sebahagian kepentingan Piala Dunia kepada pelabur.

Sky News melaporkan Erick berbuat demikian atas alasan lebih banyak dana FIFA boleh diperuntukkan kepada negara ahli (MA) seperti Indonesia untuk memajukan sukan bola sepak.

“Bola sepak Indonesia telah mengalami transformasi dalam tempoh tiga tahun terakhir – ia sudah dibersihkan. Ranking pasukan kebangsaan juga meningkat dari 174 kepada 118.

“Jika kita mahu meneruskan transformasi (bola sepak Indonesia) ini, ia memerlukan (lebih banyak) dana,” katanya.

Erick tidak melihat perkara ini sebagai satu isu memandangkan banyak MA mengambil langkah mengkomersialkan saingan bola sepak negara masing-masing.

“Jika ahli-ahli FIFA meluluskannya, ini akan menunjukkan akan ada permintaan untuk perjanjian ini menjadi kenyataan,” tambahnya.

Meskipun begitu, sokongan terhadap usul Infantino yang dipanggil FIFA Forward Enterprise (FFE) dilihat tiada langsung. Ini kerana usul itu dilihat terlalu mengejar keuntungan dan mengorbankan kepentingan bola sepak.

Tentangan hebat ramai pihak terutama Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Carribean (CONCACAF) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mendorong Infantino membatalkan rancangan tersebut.

Tentangan sama dijangka dihadapi FIFA apabila mengemukakan usul menambah bilangan pasukan Piala Dunia kepada 64 pasukan. Ini kerana ada MA yang mengesyaki usul tersebut ada kaitan dengan usul FFE yang didedahkan media.