Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengumumkan badan induk itu membatalkan rancangan menjual sebahagian kepentingan Piala Dunia kepada pelabur luar.
BBC Sport melaporkan keputusan itu dibuat Infantino selepas mendapati projek tersebut telah mencipta perpecahan dalam kalangan negara ahli (MA) FIFA dan lari daripada objektif asalnya.
“Justeru, usul tersebut tidak akan diteruskan,” katanya. Usul FIFA yang bertajuk FIFA Forward Enterprise (FFE) mendapat tentangan ramai pemegang taruh bola sepak sejak ia didedahkan oleh media British beberapa hari lalu.
Mengikut perancangan, MA akan mendapat AS$40 juta (RM163.4 juta) jika meluluskan usul berkenaan. Sebahagian daripada dana tersebut akan dapat diakses bermula pada 1 Januari 2027.
Meskipun begitu, pelan tersebut ditentang ramai pihak kerana memperlihatkan FIFA terlalu mengejar keuntungan sehingga mengorbankan kepentingan sukan bola sepak.
Susulan itu, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) memaklumkan akan memboikot semua kejohanan FIFA termasuk Piala Dunia selagi mana usul tersebut masih wujud.
UEFA kemudiannya disertai dua lagi konfederasi benua, Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Carribean (CONCACAF) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang menolak usul berkenaan.
Usul tersebut turut mencetuskan pergolakan dalam FIFA. Penasihat kanan Infantino, Carlos Cordeiro memilih meletak jawatan dan menganggap usul tersebut langsung tidak menguntungkan sukan bola sepak.
Ketua Pegawai Operasi (COO) FIFA, Kevin Lamour pula menganggap projek tersebut sebagai projek Infantino dan pentadbiran badan induk itu telah ditipu.
Lamour yang juga bekas timbalan setiausaha agung UEFA bersedia dipecat daripada badan induk itu sekiranya usaha menghalang FFE berjaya direalisasikan.
Usul ini juga berpotensi menjejaskan peluang Infantino dipilih semula sebagai Presiden FIFA apabila pemilihan semula badan induk itu dijalankan pada Mac tahun hadapan.