AFC Tolak Rancangan FIFA
MakanBola
AFC

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menjadi badan induk bola sepak benua terbaru yang menolak rancangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjual kepentingan Piala Dunia kepada pelabur luar.

Pendirian tegas badan induk bola sepak Asia itu dinyatakan menerusi satu kenyataan yang disiarkan di semua platform rasmi AFC.

Secara ringkas, usul FIFA bertajuk FIFA Forward Enterprise (FFE) ialah usul di mana sebahagian kepentingan dalam kejohanan FIFA seperti Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab dijual kepada pelabur luar.

FIFA menjangkakan pelan tersebut boleh menjana pulangan lumayan di mana hasilnya akan diagihkan kepada semua negara ahli (MA) badan induk itu.

Meskipun begitu, usul tersebut tersebar luas apabila ia dilaporkan oleh media British. Pendedahan rancangan FIFA ini mengundang kemarahan ramai pemegang taruh bola sepak termasuk Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Carribean (CONCACAF).

UEFA kemudiannya meluluskan usul memboikot semua kejohanan anjuran FIFA termasuk Piala Dunia selagi mana usul tersebut masih wujud.

Meskipun berdepan tentangan, FIFA dilihat masih bertegas mahu meneruskan usul FEE itu. Kini, AFC menyertai CONCACAF dan UEFA dengan menolak sekeras-kerasnya usul berkenaan.

“Walaupun perdebatan semasa tertumpu pada FFE, AFC menganggap isu ini melangkaui cadangan tersebut. Sebaliknya, isu ini telah mendedahkan kelemahan asas dalam aspek perundingan dan membuat keputusan FIFA yang kini mesti ditangani,” kata AFC dalam satu kenyataan.

“Walaupun AFC mengambil kira penjelasan FIFA mengenai cadangan tersebut, kebimbangan utama mengenai aspek tadbir urus, proses institusi dan pebincangan yang bermakna masih belum terjawab.

“Cadangan yang begitu penting yang berpotensi umenjejaskan masa depan komersial, sukan dan strategik bola sepak dunia, tidak boleh muncul melalui proses yang menyebabkan Konfederasi, Persatuan Ahli (MA) dan juga badan pentadbir FIFA sendiri, termasuk Majlis FIFA, berasa tersisih.”

Susulan itu, AFC menggesa FIFA menyemak semula kerangka kerja tadbir dan membuat keputusan badan induk itu demi memastikan mana-mana usul yang dikemukakan selepas ini mengikut proses yang ketat.

AFC turut menegaskan sebarang perubahan membabitkan Piala Dunia dan bola sepak amnya perlu dibuat secara kolektif dan mengambil kira suara semua MA dan konfederasi benua.