Erick Thohir: Tidak Benar Tuduhan Itu
MakanBola
PSSI

Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menyifatkan tuduhan bahawa beliau dalang di sebalik aduan Vietnam kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai karut.

Hal ini dinyatakan dengan tegas oleh Erick apabila diminta mengulas tuduhan yang dibuat sebuah portal Malaysia berhubung perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia menyifatkan pengadu bukan tahap dirinya. Selain itu, Erick melihat tidak ada manfaat untuk mencampuri hal ehwal bola sepak negara lain.

“Saya rasa buat apa kita mencampuri kemajuan negara lain. Sedangkan kita (saling) memerlukan,” katanya seperti dilaporkan CNN Indonesia.

“Kita bersaing antara negara Asia Tenggara ataupun taraf kita ke negara-negara Asia. Jadi mohon maaf, saya kelasnya bukan di situ.”

Erick turut melihat tuduhan itu langsung tidak membantu tatkala negara-negara ASEAN termasuk Indonesia berusaha meningkatkan taraf bola sepak masing-masing.

“Tidak benar pastinya (tuduhan itu). Justeru kita mendorong bagaimana persaingan itu terus ditingkatkan di negara-negara Asia Tenggara dan Asia.

“Makanya kita juga meningkatkan kualiti kita. Kerana kalau bola sepak kita tidak meningkat, tentu kita akan terus kalah kepada Eropah dan Amerika Latin,” ujarnya.

Aduan tersebut menyebabkan tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA. Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kemudiannya memberi kebenaran kepada mereka untuk beraksi sementara rayuan sedang berjalan.

Keputusan rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain negara di CAS dijangka diketahui pada penghujung Februari ini.