CAS Benarkan 7 Pemain Warisan Harimau Malaya Beraksi
MakanBola
Malaysia NT

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) telah membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh 7 pemain warisan Harimau Malaya.

Tujuh pemain terbabit ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel, yang sebelum ini digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak susulan keputusan FIFA pada September lalu.

Menerusi keputusan terbaharu CAS itu, hukuman penggantungan tersebut ditangguhkan buat sementara waktu, sekali gus membolehkan kesemua pemain berkenaan untuk meneruskan karier profesional mereka dan terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

Menurut kenyataan rasmi FAM, kelulusan Penangguhan Pelaksanaan ini kekal berkuat kuasa sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS diputuskan, sekali gus memberi ruang penting buat pemain-pemain terlibat untuk terus beraksi tanpa sekatan.

Keputusan ini juga dilihat sebagai satu perkembangan positif buat skuad Harimau Malaya, khususnya dalam perancangan jangka pendek dan pertengahan pasukan kebangsaan yang kini dalam fasa pembinaan semula serta persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa akan datang.

Dalam masa sama, FAM menegaskan bahawa proses rayuan utama di CAS masih berjalan dan pihaknya akan terus memberikan kerjasama penuh serta mematuhi segala prosedur yang ditetapkan oleh badan kehakiman sukan antarabangsa itu.

Perkembangan ini pastinya melegakan peminat bola sepak tempatan yang sebelum ini bimbang mengenai masa depan tujuh pemain warisan berkenaan, sambil menantikan keputusan muktamad CAS yang bakal menentukan hala tuju sebenar kes ini.