Arena bola sepak Malaysia kembali dihangatkan dengan berita mengenai kes tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Skuad kebangsaan telah terlepas khidmat tujuh pemain warisan ini sejak aksi ketiga Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Laos.
Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah melantik bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif sebagai pengerusi jawatankuasa bebas bagi menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hasil keputusan laporan daripada Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) dipengerusikan oleh Tun Md Raus Sharif yang telah mengenal pasti dua isu utama, iaitu pemberian kewarganegaraan Malaysia dan pemalsuan/ penipuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan baharu skuad Harimau Malaya.
Sehubungan dengan itu, IIC telah mengesyorkan FAM untuk membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dijalankan.
Bukan itu sahaja, FAM diminta untuk melakukan penambahbaikan dalam tadbir urus pendaftaran pemain warisan bagi memastikan isu pemalsuan dokumen tidak berulang serta menjaga reputasi dan integriti bola sepak Malaysia.
Perkembangan terbaru menerusi perkongsian wartawan terkemuka, Redzuan Abdul Manap mengesahkan berkenaan penemuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dua dalang yang dipercayai terlibat dengan kes ini.
“Polis mengenal pasti dua individu dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” ujar kenyataannya di laman X.
FAM bagaimanapun masih belum membuat kenyataan rasmi berhubung perkembangan kes ini lebih lanjut.