Polis Kesan Dua Individu Terlibat Pemalsuan Dokumen 7 Warisan Harimau Malaya
MakanBola
Malaysia NT

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua individu yang terlibat dalam isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Wartawan berita Media Prima, Mohd Redzuan Abdul Manap memaklumkan dua individu itu dikenal pasti Bukit Aman berhubung kes berkenaan.

Justeru, usaha untuk menyiasat identiti sebenar dan mengesan dua individu berkenaan sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Polis mengenal pasti dua individu dipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) – Bukit Aman,” katanya di X.

Siasatan PDRM dibuat susulan 45 laporan polis yang difailkan termasuk satu laporan yang dikemukakan FAM.

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk kesalahan penipuan dan pemalsuan dokumen.

Sekiranya didapati bersalah, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun, denda dan sebatan.

Terdahulu. FAM membuat laporan polis berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan negara.

Ini selepas IIC mengesyorkan laporan polis untuk menyiasat isu berkenaan dalam laporan mereka kepada FAM.