England bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Belanda di peringkat separuh akhir EURO 2024 di Signal Iduna Park, Dortmund.
England berharap tiket final dapat membawa mereka selangkah meraih trofi kejohanan utama sejak Piala Dunia 1966. Sementara Belanda pula berharap dapat layak ke final buat kali pertama sejak mereka bergelar juara dalam edisi 1988.
Penyerang berbisa Bayern Munich, Harry Kane terus diberi kepercayaan mengetuai The Three Lions. Sementara orang besi Liverpool, Virgil van Dijk mengetuai cabaran Oranje.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan kelebihan gol awal. Bintang muda Paris Saint-Germain, Xavi Simons meletakkan Belanda di hadapan seawal minit ketujuh.
Selepas berjaya merompak bola daripada pemain tengah Arsenal, Declan Rice, Simons kemudiannya melepaskan rembatan deras menuju ke penjuru atas gawang England.
Keceriaan kem Oranje hanya bertahan selama 11 minit. The Three Lions kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil Jerman, Felix Zwayer.
Ini selepas pegawai sistem bantuan video pengadil, Bastian Dankert memaklumkan Zwayer kekasaran yang dilakukan Denzel Dumfries ke atas Kane dalam kotak penalti. Bekas penyerang Tottenham itu mudah menewaskan Bart Verbruggen untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Bintang muda Manchester United, Kobbie Mainoo kurang bernasib baik apabila rembatannya pada minit ke-23 disekat Dumfries daripada melintasi garisan gol.
Pemain pertahanan Inter Milan itu kemudiannya hampir meletakkan Belanda di hadapan pada minit ke-30 apabila menanduk hantaran sepakan sudut. Malangnya, tandukan Dumfries terkena palang.
Oranje nyaris ketinggalan apabila bintang muda Manchester City, Phil Foden melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti dua minit selepas itu. Foden hampa kerana rembatannya juga terkena palang.
Belanda ditimpa malang apabila peledak utama mereka, Memphis Depay terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada minit ke-39. Depay digantikan oleh pemain tengah PSV Eindhoven, Joey Veerman.
Kedua-dua pasukan saling mengasak untuk mendapatkan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Oranje memasukkan Wout Weghorst untuk mengetuai bahagian serangan. Sementara England pula memasukkan Luke Shaw menggantikan Kieran Trippier.
Simons hampir menggugat gawang The Three Lions pada minit ke-77 tetapi percubaannya berjaya dipatahkan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
Melihat Kane semakin keletihan, jurulatih England, Gareth Southgate memasukkan peledak berbisa Aston Villa, Ollie Watkins pada minit ke-81.
Percaturan yang dibuat Southgate membuahkan hasil apabila Watkins melepaskan rembatan deras menewaskan Verbruggen pada minit ke-90. Gol tersebut sudah cukup membawa England ke final buat kali kedua berturut-turut sejak edisi 2020.
Meskipun tewas, Simons dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore. Beliau mendapat markah 7.7, 0.1 mata di hadapan Kane.
England bakal berentap dengan Sepanyol bagi menentukan juara EURO 2024 di Olympiastadion, Berlin pada awal pagi 15 Julai ini.