Selepas tamat aksi Kumpulan E dan Kumpulan F, aksi pusingan 16 pasukan terbaik EURO 2024 bakal menjanjikan lapan pertembungan menarik.
Salah satu aksi yang dijangka menjadi tumpuan peminat bola sepak ialah aksi membabitkan Perancis dan Belgium di Dusseldorf Arena.
Pertembungan ini dinantikan ramai kerana kedua-dua pasukan dianggotai ramai bintang ternama yang beraksi di liga-liga utama Eropah.
Antara pemain yang akan menjadi tumpuan ialah Kylian Mbappe, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku, Antoine Griezmann dan N’Golo Kante.
Belgium berharap dapat menggunakan peluang ini untuk membalas dendam ke atas Perancis. Ini kerana Les Bleus sudah beberapa kali mengecewakan pasukan yang dibimbing Domenico Tedesco itu.
Ini termasuk kejayaan Perancis menewaskan The Red Devils 3-2 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA (UNL) pada tahun 2021.
Selain Perancis-Belgium, aksi lain menyaksikan Switzerland bakal berentap dengan Itali pada tengah malam 30 Jun. Ini disusuli aksi Denmark menentang tuan rumah, Jerman.
England pula bakal menentang pasukan ke-45 dunia, Slovakia pada tengah malam 1 Julai. Ini akan diikuti oleh perlawanan Sepanyol dan pasukan Eropah Timur, Georgia.
Selepas aksi Perancis-Belgium pada tengah malam 2 Julai, ia akan disusuli dengan aksi Portugal-Slovenia.
Sementara Romania-Belanda dan Austria-Turkiye bakal menutup pusingan 16 pasukan terbaik EURO 2024. Kedua-dua perlawanan ini akan berlangsung pada tengah malam 3 Julai ini.
Kesemua perlawanan ini boleh disaksikan peminat bola sepak di Malaysia menerusi saluran SPOTV.