Man City bangkit daripada ketinggalan pada separuh masa pertama sebelum menewaskan kelab Liga Satu (League One), Leyton Orient.
City tidak mahu kecewa lagi selepas dibelasah Arsenal 5-1 dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL). Hasrat sama turut dimiliki Orient selepas mereka tewas 1-0 kepada Stockport.
Penyerang pinjaman Tottenham Hotspur, Jamie Donley mengetuai serangan tuan rumah di Brisbane Road. Penyerang Mesir, Omar Marmoush menjadi sandaran gol pengurus The Citizens, Pep Guardiola.
Separuh masa pertama menyaksikan City berusaha mendapatkan gol pendahuluan menerusi Marmoush, Jack Grealish, James McAtee dan Savinho.
The Citizens hampir mendahului pada minit kelapan menerusi Ilkay Gundogan. Malangnya, pemain tengah berpengalaman itu gagal menyempurnakan hantaran Savinho.
Charlie Kelman hampir mencemaskan pertahanan City pada minit ke-13. Pelawat bernasib baik apabila percubaan penyerang Amerika Syarikat itu dinafikan penjaga gol, Stefan Ortega.
Penyokong Orient kemudiannya ceria apabila percubaan jarak jauh Donley terkena belakang Ortega sebelum menerjah jaring pelawat pada minit ke-16.
City terus bernasib malang apabila Nico Gonzalez terpaksa dikeluarkan lima minit selepas itu akibat kecederaan. Bernardo Silva dibawa masuk sebagai pemain gantian.
Silva hampir menyamakan kedudukan buat City pada minit ke-37. Walau bagaimanapun, percubaan beliau berjaya dikeluarkan Donley sebelum melepasi garisan gol.
The Citizens terus memberi tekanan kepada Orient tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, City memasukkan Abdukodir Khusanov dan John Stones untuk menambah kekuatan di barisan pertahanan.
Serangan bertali arus pelawat akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-56 menerusi Khusanov. Sepakan Rico Lewis terkena Khusanov sebelum menewaskan penjaga gol Orient, Josh Keeley.
Empat minit selepas itu, Kelman hampir menggandakan kelebihan tuan rumah. Malangnya, percubaan penyerang pinjaman QPR itu tidak mengenai sasaran.
Tatkala pelawat berharap dapat mengheret perlawanan ke masa tambahan, Kevin de Bruyne meledakkan gol kemenangan buat City pada minit ke-79.
Orient berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan City mengikut jejak musuh setempat, Manchester United ke pusingan seterusnya.
Sofascore memilih Jack Grealish sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Beliau mengatasi cabaran pemain muda City, Nico O’Reilly yang meraih 8.0 mata.
Selepas ini, City akan berdepan Real Madrid untuk aksi pertama pusingan play-off Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 12 Februari. Orient pula berdepan Mansfield pada hari yang sama.