Man United bangkit daripada kekalahan di tangan Nottingham Forest dalam liga dengan mara ke pusingan keempat The FA Cup hari ini.
United berjaya melakukannya selepas mengatasi cabaran kelab Liga Satu (divisyen tiga England) dan juara The FA Cup edisi 2013, Wigan Athletic.
Selepas dimalukan Forest 2-1 dalam perlawanan terakhir liga sebelum ini, anak buah Erik ten Hag perlu bangkit bagi mengembalikan musim mereka di atas landasan semula.
Jadi, tidak hairanlah sebaik wisel bermula, The Red Devils tampil garang mengasak kubu tuan rumah. Bagaimanapun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-22 untuk mendahului menerusi Diogo Dalot.
United terus memberi tekanan ke atas Wigan dengan 17 percubaan ke arah gol mereka tetapi dinafikan oleh penjaga gol tuan rumah, Sam Tickle.
Kecemerlangan Tickle menafikan serangan demi serangan The Red Devils diketuai Rasmus Hojlund memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The Latics yang dibimbing pengurus Scotland, Shaun Maloney terus dikenakan tekanan oleh United.
Kubu pertahanan tuan rumah akhirnya roboh buat kali kedua apabila Liam Shaw menjatuhkan Bruno Fernandes dalam kotak penalti. Fernandes memastikan kemenangan United dengan gol kedua pada minit ke-74.
Walaupun tewas, kecemerlangan Tickle diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Penjaga gol muda berusia 21 tahun itu mendapat markah 9.1 mata, 0.2 mata di hadapan Fernandes.
Gol tersebut sudah cukup membawa The Red Devils layak ke pusingan seterusnya The FA Cup. United boleh mengalihkan fokus kepada perlawanan liga seterusnya menentang Tottenham Hotspur pada 15 Januari.
Manakala Wigan pula kembali ke saingan Liga Satu dengan turun menentang Northampton pada 13 Januari.